Berita Hari Ini

Tiada Masalah Sabah, Sarawak Tangguh Larangan Merokok – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Tiada masalah bagi negeri Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan penangguhan larangan merokok kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Jelasnya, Sabah dan Sarawak wajar mengambil perhitungan untuk melaksanakan larangan tersebut berdasarkan ordinan kerajaan negeri.

“Saya sudah mengadakan perbincangan langsung dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian dan kami mempunyai persefahaman sama bahawa perkara ini perlu ditangani dengan sebijaknya.

“Beliau sendiri sebagai seorang kardiologis mahu larangan merokok ini dilaksanakan tetapi ia perlu dikuatkuasakan dari sudut kewajaran pelaksanaan itu berpandukan ordinan kerajaan tempatan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berpuas hati dengan respon yang diberikan orang awam terhadap larangan merokok di semua premis-premis makanan bermula 1 Januari lepas.

Selepas membuat lawatan di lebih 12,243 premis makanan sehingga 4 Januari, pihaknya mendapati rata-rata akur dengan larangan tersebut walapun masih ada segelintir yang menunjukkan keengganan.

“Rata-rata orang awam di seluruh negara beri respon yang baik dan sebahagian besar daripada mereka adalah pemilik premis makanan.

“Setakat 4 Januari lepas, anggota kami telah dikerahkan untuk terus memantau keadaan semasa di 12,243 premis makan dan memberi penerangan secara berkala untuk mengingatkan orang ramai tentang bahaya rokok.

“Walaupun masih ada yang menunjukkan keengganan tetapi rata-rata dapat menerima pelaksanaan ini dengan baik dan orang ramai nampak lebih ceria serta sejahtera di premis makanan yang kini bebas asap rokok,” katanya.

Terdahulu, penangguhan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negeri Sabah menjadi penanda aras kepada kerajaan negeri itu menggunakan haknya dalam membuat keputusan berasaskan ordinan kerajaan tempatan negeri.

Keputusan itu dibuat sejajar dengan prinsip yang dipegang kerajaan negeri Sabah yang baharu dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengutamakan Hak-Hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa terjamin termasuk dalam soal penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");