Sukan Hari Ini

VAR Perlu Ada Di Semua Stadium – Silva

LONDON: Pengurus Everton, Marco Silva menegaskan sistem pengadil bantuan video (VAR) seharusnya digunakan untuk semua perlawanan saingan Piala FA Inggeris selepas skuad kendaliannya tewas di tangan Millwall pada pusingan keempat yang mencetuskan kontroversi, awal pagi tadi.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dua kali mendahului menerusi jaringan Richarlison dan Cenk Tosun tetapi Millwall bangkit menyamakan kedudukan sebelum Murray Wallace meledak gol kemenangan untuk membolehkan mereka menang 3-2.

Bagaimanapun, Everton meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa Jack Cooper menggunakan tangan ketika menjaringkan gol penyamaan kedua.

Pengadil Michael Oliver tetap membenarkan gol itu tetapi jika VAR digunakan sudah pasti jaringan itu dibatalkan.

Kelab Liga Perdana Inggeris yang menjadi tuan rumah bagi aksi Piala FA dibenarkan menggunakan VAR tetapi Millwall yang melayan kunjungan Everton kali ini tidak memiliki sistem itu dan Silva menganggap ia situasi yang tidak adil.

“Ia tidak masuk akal. Jika anda mahu berlaku adil kepada semua kelab, anda perlu adil dengan pertandingan dan anda harus lakukannya untuk semua perlawanan.

“Kini, kami pulang dengan perasaan terlalu kecewa. Saya berada di sini bukan hanya mahu berasa marah terhadap pengadil tapi itulah hakikatnya,” kata Silva, lapor BH Online.

Lebih memburukkan keadaan, gol itu disiarkan di skrin gergasi stadium sejurus selepas jaringan dilakukan dan penonton dapat melihat dengan jelas bola terkena tangan.

“Ia memang jelas terkena tangan. Pemain menyaksikannya dan pergi bercakap dengan penolong pengadil. Selepas itu ribuan orang dapat melihatnya di skrin gergasi.

“Saya fikir pengadil juga melihatnya. VAR perlu ada di semua stadium,” jelas Silva.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");