Perak Hari Ini

35,000 Pengguna Aktif Aplikasi Park@Perak

IPOH: Semenjak diperkenalkan pada Januari, sehingga kini aplikasi pembayaran parkir secara atas talian, Park@Perak telah mencatatkan hampir 35,000 pengguna aktif, termasuk pengguna dari luar Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam tempoh sebulan, aplikasi Park@Perak telah juga menerima lebih 1,000 maklum balas dan cadangan bagi penambahbaikan aplikasi daripada pengguna.

“Susulan daripada respon dan maklum balas yang diterima, menjelang April 2019 ini, aplikasi Park@Perak akan tampil dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, selain pengguna juga boleh mencetak sendiri resit penggunaan Park@Perak,” katanya.

Tambahnya, dalam jangka masa panjang, kerajaan negeri akan mempertingkatkan lagi kualiti aplikasi tersebut supaya ia dapat menjadi medium informasi dan pembayaran yang lebih komprehensif, dan praktikal kepada rakyat.

Jelasnya, kerajaan negeri kini sedang meneliti cadangan untuk mempelbagaikan lagi saluran pembelian kredit contohnya melalui kad kredit, perkongsian kredit sesama pengguna, pembayaran kompaun dan sebagainya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pengurusan Tempat Letak Kereta Seragam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Aplikasi Park@Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, bermula 1 April ini, kesemua kupon parkir juga akan diseragamkan bagi semua PBT di Perak.

Ujarnya kesemua 15 PBT telah dimaklumkan supaya kupon parkir yang sedia ada hendaklah dihabiskan menjelang 31 Mac.

Selain itu, Choo Kiong berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan supaya kupon parkir yang sedia ada kepada pengguna dapat ditukarkan dengan kupon baharu kepada PBT masing-masing.

“Usaha ini akan memudahkan warga Perak dan warga luar seperti pelancong yang datang ke negeri ini. Mereka kini tidak perlu mencari kupon parkir yang berbeza-beza bagi setiap PBT.

“Bagi aplikasi Park@Perak, ia bukan sahaja boleh membayar parkir sebaliknya, ia juga boleh mengingatkan pengguna sama ada mereka sudah dikenakan saman atau tidak.

“Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh membayarkan parkir ataupun saman kenderaan lain , menerusi aplikasi ini,” katanya.

Jelasnya lagi, harga tempoh parkir juga kini telah diseragamkan iaitu 30 sen untuk setengah jam, 60 sen untuk satu jam dan RM4 untuk sepanjang hari.

Dalam pada itu, menurut Choo Kiong, pihaknya juga berkemungkinan akan turut mengkaji cadangan penyeragaman pelekat parkir bagi semua PBT dalam tempoh masa terdekat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");