Perak Hari Ini

Barisan Kepimpinan Kerajaan Perak Ucap Selamat Tahun Baru Cina

IPOH: Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak mengambil kesempatan untuk menyampaikan amanat masing-masing.

Rata-rata kesemuanya berharap agar keharmonian antara kaum di negeri ini dapat terus terpelihara.

Menerusi satu klip video yang dimuat naik ke halaman Facebook Pakatan Harapan Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan harapan agar kesejahteraan rakyat dan negeri akan terus terjamin.

“Semoga Tahun Baru Cina ini membawa kedamaian dan kesejahteraan kepada negara dan seluruh rakyat di Perak.

“Diharap juga ia dapat mencetuskan iltizam dan kejayaan untuk masa depan yang lebih cemerlang bagi generasi kini dan akan datang,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri.

Dalam video yang berdurasi sekitar 5 minit itu, ia turut menampilkan Ahmad Faizal serta isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang masing-masing lengkap berpakaian tradisi masyarakat Cina, samfu dan cheongsam.

Selain itu, Timbalan Pengerusi PH Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berharap agar sambutan perayaan tersebut, mampu memupuk semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.

“Marilah kita mengambil kesempatan untuk memupuk perpaduan kaum dengan berkunjung ke rumah-rumah rakan dan jiran.

“Semoga dengan itu, hubungan antara kaum dapat dieratkan lagi,” ujarnya.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, kepelbagaian sambutan perayaan di negara ini jelas membuktikan keindahan masyarakat di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berjanji akan memastikan semua harga barangan pada musim perayaan ini berada dalam keadaan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How pula berharap agar semua rakyat dapat menikmati kesejahteraan dan kegembiraan yang berpanjangan pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Turut sama mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina buat rakyat Perak ialah barisan Exco Kerajaan Negeri lain seperti, Yong Choo Kiong; Datuk Seri Mohamadd Nizar Jamaluddin; Dr Abdul Aziz Bari; Wong May Ing serta Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");