Panasnya Hari Ini

DAP Sokong RCI Ditubuhkan

SANDAKAN: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menyokong cadangan kerajaan bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan terbaru mengenai salah laku hakim-hakim kanan.

Beliau berkata RCI perlu dalam menangani rasuah dan ketidakadilan kehakiman memandangkan seorang hakim mahkamah rayuan membuat dakwaan yang sangat serius berkaitan rasuah kehakiman dalam afidavitnya.

“Ada satu dalam kes (mendiang) Karpal Singh mengenai hasutan dan kes (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

“Oleh itu, saya fikir ia serius dan wajar ada RCI. Sudah tentu (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) mengatakan pilihan sedang dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sandakan di Dewan Masyarakat di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt serta Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan RCI terhadap dakwaan baharu mengenai salah laku hakim kanan.

Ia susulan dakwaan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, dalam afidavitnya setebal 63 muka surat kelmarin, yang mendedahkan berlaku campur tangan terbuka badan itu membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan Persekutuan.

Ia termasuk campur tangan terbuka dalam saman pemula difailkan anak mendiang Karpal, Sangeet Kaur Deo, terhadap Ketua Hakim Negara.

Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perisytiharan Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman.

Sangeet mendakwa, isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal didakwa diubah akibat campur tangan seorang hakim kanan.

Beliau mendakwa ia turut berlaku dalam kes membabitkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapanya yang memeluk Islam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");