Berita Hari Ini

IGP: Penahanan Poca Berdasarkan Jenayah

Penahanan atau pengawasan terhadap seseorang di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dibuat berdasarkan jenayah yang dilakukan individu terbabit, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata penahanan dan pengawasan dilaksanakan mengikut keputusan yang ditentukan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah selain peruntukan sedia ada.

“Pihak lembaga yang tentukan perkara ini dan kita bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, jadi sebarang proses dan tindakan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Poca ini dilakukan atas sebab kesalahan, bukan polis sahaja ambil tindakan.

“Jumlah sebenar, hanya seorang sahaja yang masih ditahan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor manakala 56 lagi telah bebas namun masih berada di bawah pengawasan Poca,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mahukan keadilan serta pembelaan sewajarnya diberikan kepada 142 juvana yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph sebelum ini dilaporkan berkata penahanan di bawah Poca memberi impak negatif terutama dari sudut psikologi dan masa depan mereka yang ditahan selain meminta kerajaan melihat semula akta itu serta mencadangkan agar pendekatan lebih efisien dilaksanakan dalam menguruskan tahanan juvana.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang kecewa apabila tidak diberikan pengiktirafan kerana membongkar isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“RCI sudah dibentuk jadi kita akan bagi kerjasama untuk siasatan berhubung isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan tersebut. Kita akan akur dengan apa juga arahan dan ia akan berlangsung dan diputuskan melalui inkues dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 293 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah Datuk Abd Rahim Jaafar.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");