Panasnya Hari Ini

Kembalinya Zahid Boleh Rencat Kebangkitan Umno

Nama Ahmad Zahid Hamidi kembali menjadi perhatian dunia politik tanah air apabila beliau menyatakan kesediaannya untuk kembali menerajui Umno “bila tiba masanya”.

Menurut anggota parlimen Bagan Datuk itu, berdasarkan kasyaf ulama, akan berlaku peristiwa besar dalam negara dan pada masa itu beliau akan kembali memimpin Umno.

Apa perkara besar itu tidak pula diperjelaskan presiden Umno yang sedang bercuti itu, namun berdasarkan pengamatan peristiwa besar yang diharapkan Ahmad Zahid itu berkemungkinan besar Umno kembali berkuasa dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Bagaimana caranya itu sukar untuk diramal, sama ada Umno akan membentuk kerjasama dengan PKR dan PAS bagi mengusai Dewan Rakyat ataupun tidak mustahil juga Bersatu dan Umno akan rujuk kembali.

Lawan tukar jadi kawan

Dalam politik tiada yang mustahil, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sejak puluhan tahun bermusuh dengan DAP, tetapi akhirnya boleh bersama dalam satu bahtera.

Begitu juga Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sekian lama bermusuh dengan Mahathir, tetapi akhirnya mengangkat pengerusi Bersatu itu sebagai perdana menteri.

Begitulah seni politik tiada yang mustahil, kawan tidak selamanya dan lawan juga boleh bertukar menjadi kawan.

Namun, bukan isu itu yang ingin diperkatakan, apa yang ingin diperhalusi adalah kesediaan Ahmad Zahid untuk kembali menerajui Umno, apakah sesuai dengan masanya ataupun sebaliknya?

Tidak dinafikan, Ahmad Zahid telah dipilih secara demokrasi oleh ahli Umno untuk memimpin parti dominan terbesar orang Melayu itu.

Umno bukan lagi bahtera kerajaan

Namun, situasi dan masanya sedikit berbeza. Umno kini bukan lagi bahtera kerajaan, sebaliknya parti yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Umno memerlukan pembaharuan, perlu dilihat lebih segar dan bertenaga untuk menghadapi cabaran baru sebagai pembangkang.

Oleh itu Umno perlu dipimpin oleh nakhoda yang bersih dan bebas daripada sebarang masalah, yang sukar untuk pihak lawan menyerang batang tubuh pucuk kepimpinan.

Ini bukan bermakna satu “hukuman” terhadap Ahmad Zahid yang belum dibuktikan bersalah di mahkamah dengan puluhan pertuduhan yang dilemparkan terhadap beliau.

Namun, adalah lebih baik sekiranya beliau terus berjiwa besar dengan menyerahkan kepimpinan kepada Mohamad Hasan sehingga kes yang dihadapinya selesai dan jika beliau berjaya membersihkan namanya.

Redakan gelombang lompat

Sememangnya Ahmad Zahid berjiwa besar, memikul tanggungjawab untuk memimpin parti ketika dalam keadaan sukar dan menyerahkan tugas kepada timbalannya ketika parti dilanda badai.

Pendekatan yang diambil oleh beliau dengan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat membuahkan hasil. Ribut yang melanda Umno dengan gelombang lompat parti berjaya diredakan.

Bahtera Umno kembali tenang, ketenangan itu akhirnya menterjemahkan kemenangan sulung buat Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Nasihat orang-orang agama dan ilmuan, ketenangan pastinya akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Berundur selangkah ke belakang juga tidak semestinya mengalah, Ahmad Zahid bukanlah seorang yang tewas dengan hanya menyerahkan tugas presiden kepada Tok Mat hanya kerana mahu menyelamatkan Umno.

Sebaliknya beliau adalah seorang pejuang yang sebenar yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Tok Mat disenangi

Hakikat itulah yang perlu ditelan oleh pemimpin Umno, parti terbesar orang Melayu perlu melakukan transformasi yang menyeluruh dengan nafas baru sekiranya ingin kembali memenangi hati rakyat.

Dalam situasai hari ini, untuk mengatasi defisit kepercayaan Umno harus dipimpin oleh tokoh yang dilihat bersih dan disenangi rakyat.

Umno tidak boleh dipimpin oleh pemimpin yang akan menjadi sasaran pihak lawan kerana kelak yang terkesan adalah parti itu.

Kepimpinan Tok Mat dilihat disenangi kawan dan lawan, tidak salah jika bekas menteri besar Negeri Sembilan itu diberi peluang untuk memperkasakan kembali Umno dengan Ahmad Zahid menyokong dari belakang.

Sehingga kini, agak sukar untuk melihat pihak lawan menyerang batang tubuh Tok Mat kerana beliau masih bersih darpada sebarang isu.

Oleh itu, momentum baik yang ada pada Umno ketika ini tidak seharusnya direncatkan oleh ‘come back’ yang merugikan parti.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");