Berita Hari Ini

Nafi Murid Beragama Hindu Dipaksa Belajar Pendidikan Islam

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menafikan laporan sebuah portal berita mengenai seorang murid beragama Hindu dipaksa belajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata apa yang berlaku sebenarnya pihak sekolah tidak pernah memaksa murid berkenaan mengikuti Pendidikan Islam.

Katanya, semakan Kementerian Pendidikan juga mendapati murid berkenaan mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak mula alam persekolahan pada 2017.

“Pada tahun semasa 2019 ini, murid itu yang kini berada di Tahun Tiga juga sedang mengikuti subjek Pendidikan Moral.

“Pihak sekolah membolehkan murid berkenaan mengikuti Pendidikan Moral berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu.

“Berdasarkan maklumat awal yang diberikan bapanya, pihak sekolah menganggap murid berkenaan beragama Hindu dan membolehkan dia mengikuti kelas Pendidikan Moral,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini, lapor BH Online.

Amin berkata, murid terbabit telah diberikan kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftarkan sebagai murid tanpa dokumen.

Katanya, sehingga kini ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana yang disyaratkan.

“Semakan terperinci Kementerian Pendidikan susulan laporan portal itu mendapati pelajar terbabit didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang beragama Islam dan ibunya juga seorang beragama Islam,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah Akta Pendidikan 1996, setiap murid beragama Islam perlu mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

Amin juga menegaskan, pihak sekolah berkenaan mematuhinya berdasarkan bukti murid berkenaan adalah seorang yang beragama Islam.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu murid terbabit dipaksa mengikuti Pendidikan Islam.

“Kementerian Pendidikan memahami situasi yang dihadapi ibu bapa murid berkenaan.

“Bagaimanapun, disebabkan kes status agama ibu murid terbabit dalam proses rayuan di mahkamah. Tindakan sewajarnya akan diambil kementerian selari dengan keputusan mahkamah kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");