Perak Hari Ini

Penjawat Awam Sambut Baik Projek Rintis Waktu Bekerja Fleksi

IPOH: Rata-rata penjawat awam di negeri ini menyambut baik projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) yang akan dilaksanakan pada 1 Mac ini.

Ia akan dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri, termasuk Perak bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang diguna pakai ketika ini.

Bagi Nurhayati Ismail Fauzi, 42, inisiatif tersebut amat memberi kesan positif khususnya buat golongan ibu bapa yang mempunyai jadual yang padat.

“Ibu seperti saya sangat gembira dengan pengumuman tersebut yang mana saya tidak akan terkejar-kejar ke pejabat selepas menghantar anak ke sekolah.

“Dengan adanya WBF ini setiap kakitangan itu akan dapat mengatur jadual perjalanan kerja masing-masing.

“Lagi pun, bukan semua kakitangan mempunyai tanggungan dan keperluan yang sama. Mungkin ada yang terpaksa menguruskan ibu bapa yang uzur atau orang kelainan upaya (OKU),” katanya kepada PerakToday, hari ini.

Selain itu, Ahmad Nordeen Abdullah, 31, berkata pelaksanaan WBF dilihat lebih baik berbanding dengan WBB.

“Jika dahulu kita harus hadir ke pejabat dalam tempoh-tempoh tertentu yang sudah ditetapkan 9 jam. Kali ini pula, kita diberi ruang masuk ke pejabat antara jam 7.30 pagi sehingga 8.30 pagi.

“Waktu pulang pula antara jam 4.30 dan 5.30. Asalkan kakitangan itu cukup waktu bekerja 9 jam. Saya rasa perkara ini baik dan mampu meningkatkan produktiviti semua kakitangan awam,” katanya.

Tambahnya, usaha sedemikian juga mampu mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak di bandar-bandar dan jalan utama.

Selain itu, Noor Maznah Shuip, 48 berharap dengan pelaksanaan projek rintis tersebut, ia mampu mendidik segelintir kakitangan awam untuk menepati masa waktu bekerja.

“Walaupun ini projek rintis, namun jika ia kekal untuk dilaksanakan, saya berharap prestasi kerja kesemua kakitangan akan lebih baik.

“Dan dengan usaha ini juga, diharap ia mampu menaikkan lagi imej jabatan kerajaan Persekutuan di mata masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Harun Rejab, 33, turut mencadangkan agar kerajaan dapat mengkaji semula tempoh masa yang ditetapkan itu.

Beliau mencadangkan agar waktu masuk ke pejabat dapat dilewatkan kepada jam 9 pagi.

“Mungkin kerajaan dapat melewatkan waktu mula bekerja kepada jam 9 pagi dan akan berakhir selepas cukup 9 jam. Rehat selama sejam. Ataupun waktu kerja dapat dikurangkan kepada 6 jam seperti di negara luar.

“Bagi saya produksi kerja juga akan sama dan mungkin akan lebih efisien. Sebagai contoh, tidak ada yang akan kelam-kabut untuk pulang menghantar atau mengambil anak di sekolah,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");