Sukan Hari Ini

‘Shebby’ Cadang Pemenang Kasut Emas Turut Diberi Hadiah Wang Tunai

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh mencadangkan pemenang Kasut Emas turut diberi hadiah iringan wang tunai jika pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak berhasrat menaik taraf kualiti trofi itu pada masa depan.

Bagi Serbegeth atau lebih mesra disapa Shebby, cadangan itu andai dilaksanakan MFL boleh meredakan kekecewaan barisan pemenang jika berlaku kerosakan pada trofi berkenaan yang kualitinya boleh dipertikaikan seperti berlaku kepada beberapa penjaring terbanyak edisi terdahulu.

“Lebih baik berikan hadiah wang tunai juga dan alternatif itu tidaklah menyakitkan hati apabila mendapat trofi yang satu masa nanti akan rosak atau pudar,” katanya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Sebelum ini, bekas penyerang skuad kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof, 40, mendedahkan kepada Arena Metro Kasut Emas yang diterimanya selaku penjaring terbanyak Liga Super 2009 sudah rosak sekali gus menggambarkan kualiti rendah berbanding di peringkat antarabangsa.

Senario sama turut disahkan dua lagi bekas pemenang Kasut Emas, Mohamad Ashari Samsudin dan Haris Safwan Kamal.

Sumber yang terbabit dengan anugerah itu pula mengesahkan trofi itu bukanlah tulen ataupun bersadur emas, sebaliknya ia hanya but bola biasa yang disembur cat keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring terbanyak liga.

Malah, nilai but bola yang digunakan itu hanya sekitar RM700 hingga RM1,500 bagi mengiktiraf seorang pemain yang sudah bertungkus lumus sepanjang musim untuk mengejar anugerah berkenaan.

Mengulas lanjut, Shebby berkata, trofi Kasut Emas adalah simbol atau lambang kemasyhuran penjaring terbanyak yang sepatutnya dijadikan kenangan untuk jangka panjang dan bukannya hanya boleh disimpan beberapa tahun saja.

Beliau turut membidas sikap segelintir pihak yang menganggap isu trofi cabuk adalah remeh dan tidak perlu diperbesarkan, malah menganggap pihak terbabit tidak meneliti dari sudut pemain dan betapa prestijnya anugerah itu.

Menurut Shebby, sememangnya nama pemain yang menerima anugerah trofi berkenaan akan diingati dan dikenang, namun penat lelah mereka perlulah dihargai dengan pemberian hadiah berkualiti.

“Jika bukan replika kasut emas yang sudah tentu memerlukan kos tinggi sekali pun, pihak berkenaan boleh menukarkannya dengan hadiah lain… janji lebih berkualiti serta tahan lama.

“Yang penting, anugerah itu perlu ada nilai prestij sebagai pengiktirafan kepada penjaring terbanyak yang beraksi cemerlang sepanjang musim,” katanya.

Shebby berkata, penerima anugerah terbabit bukanlah mengidamkan trofi mahal atau setaraf dengan luar negara, namun memadai jika hadiah itu boleh disimpan untuk jangka masa lama.

“Pihak berkaitan perlu memikirkan alternatif lain dalam menyediakan trofi lebih berkualiti supaya tidak mudah rosak atau pudar lagi seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");