Jenayah

Polis Minta Jangan Sebar Spekulasi Punca Kematian Anak Menteri Sarawak

SIBU: Punca sebenar kematian ahli perniagaan, Datuk Andrew Wong Kee Yew, 42, dijangka dapat diketahui selepas keputusan ujian makmal forensik diperoleh.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap hasil ujian berkenaan bagi membantu siasatan.

“Hasil bedah siasat yang selesai dijalankan du Hospital Sibu petang semalam mendapati terdapat kesan pendarahan otak pada sebelah kiri otak mendiang (Andrew).

“Pakar patologi turut menemui kesan pendarahan dalam saluran makanan pada perutnya. Namun, punca kematian sebenar belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan makmal,” katanya.

Andrew yang juga anak lelaki tunggal Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 9 malam kelmarin di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh, di sini sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam.

Difahamkan, beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu dan Pengasas Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) ditemui tidak sedarkan diri di lantai bilik tidurnya oleh ibunya yang bergegas memeriksa keadaannya selepas tidak memberi respons untuk makan malam bersama.

Sebelum kejadian, Andrew yang pernah menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sibu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dikatakan menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4X4) dan jet ski di Nanga Tutus.

Difahamkan, mendiang mengidap darah tinggi dan sedang dalam proses rawatan penyakit dihidapinya itu.

Sementara itu, Stanley meminta semua pihak, termasuk orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kematian ahli perniagaan dan ahli politik berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, persiapan rapi sedang dilakukan pihak keluarga bagi majlis pengebumian mendiang.

Difahamkan, majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Taman Peringatan Nirvana, Jalan Oya, di sini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang esok, disusuli majlis pengebumian pada jam 8 pagi, Khamis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");