Panasnya Hari Ini

“Saya Beli Viva, Bukan Kereta Mewah”

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan dakwaan kononnya beliau membeli sejumlah kereta mewah dan kediaman untuk ahli keluarga serta dirinya seperti didakwa portal Sarawak Report.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengakui ada membeli kereta Perodua Viva dan kereta lain pada harga bawah RM100,000, bukannya kereta mewah seperti didakwa Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

“Tuduhan dalam kes di Mahkamah Tinggi London itu boleh dikatakan 100 peratus tidak benar dan lebih kepada ‘hearsay’. Beli kereta itu memang betul tapi kereta yang macam mana adalah mengikut kemampuan.

“Kereta dalam RM60,000 hingga RM100,000 takkan tidak boleh beli sedangkan cikgu boleh beli kereta dengan harga RM200,000, takkan Timbalan Menteri Besar tidak boleh beli kereta harga lebih RM100,000.

“Apa pun saya tidak boleh nak komen lebih lanjut kerana dinasihatkan peguam supaya tidak memberi maklum balas mengenai perkara ini. Tambahan pula, semua maklumat saya sudah beri kepada peguam dan kes ini dianggap sudah selesai,” katanya selepas memberi kuliah minggu di Medan Ilmu, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Amar berkata demikian ketika menjawab dakwaan beliau memiliki kereta mewah seperti Range Rover, Audi 6, Toyota Vellfire dan Toyota Attis serta membina beberapa rumah untuk ahli keluarganya, hasil kemewahan daripada wang pemberian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan disalur ke parti itu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, isu pemberian dana RM90 juta daripada UMNO termasuk pembelian kereta mewah sepatutnya sudah selesai apabila terdapat persefahaman melakukan penyelesaian di luar mahkamah pada 1 Februari lalu dan dipersetujui bersama dengan editor Sarawak Report terbabit.

“Semua perlu faham, PAS bukan tarik balik saman, sebaliknya melakukan penyelesaian di luar mahkamah dan ia membawa maksud berbeza. Penyelesaian luar mahkamah adalah perkara biasa seperti kes (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai di luar mahkamah dengan (Ahli Parlimen Rembau) Khairy Jamaluddin.

“Kalau nak persoalkan PAS tidak nampak jalan nak menang (siasatan dana RM90 juta di Mahkamah Tinggi London), kenapa Rewcastle-Brown turut bersetuju memandangkan penyelesaian luar mahkamah memerlukan persetujuan dua pihak.

“Kalau kata dia (Rewcastle-Brown) ada bukti kukuh dan boleh menang, kenapa dia setuju. Apabila setuju sepatutnya kedua-dua pihak diamlah sebab persetujuan sudah dibuat, jadi tidak sepatutnya dia komen lagi dalam Sarawak Report dan jangan panjangkan cerita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");