Jenayah

Tiada Lagi Peras Ugut Di Tapak Projek Luar Bandar

IPOH: Polis Perak tidak lagi menerima laporan mengenai kegiatan kongsi gelap yang menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan di negeri ini sejak tahun lalu.

Sebaliknya, laporan yang diterima adalah pada 2017 dan ia sudah diselesaikan dengan penangkapan 37 orang ahli kumpulan kongsi gelap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Memetik laporan BH Online, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, sejak tahun lalu tiada laporan daripada peniaga atau pemaju di tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar mengenai ugutan atau pemerasan.

Menurutnya, pihaknya yakin kes berkenaan sudah tidak lagi namun polis tidak mengambil mudah perkara itu kerana ia boleh berulang.

“Tiada laporan langsung diterima, hanya setakat gaduh-gaduh biasa tetapi itu berpunca daripada mabuk, masalah kekasih dan hutang.

“Namun, sekiranya perkara ini kita tidak bendung dan membiarkan ia merebak, ia boleh berlaku. Justeru, bagi memastikan keadaan selamat di negeri ini, polis akan terus melakukan pemantauan serta risikan bagi mengambil tindakan dari awal,” katanya.

Razarudin berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pemangku Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Pada 6 Februari lalu, media melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, mendedahkan mengenai kewujudan kegiatan itu di kawasan pinggir bandar.

Dalam pendedahannya, Rohaimi memberitahu kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap itu.

Menurut Razarudin, tindakan SOSMA dan POCA yang diambil terhadap 37 ahli kumpulan kongsi gelap itu dilihat memberikan kesan positif apabila tiada sebarang laporan membabitkan pergaduhan berlaku sepanjang perayaan Thaipusam sejak dua tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");