Perak Hari Ini

“Tukar Alamat, Bukan Tukar Nama Jalan”

IPOH: Sejak awal hari ini, tular di beberapa akaun media sosial Facebook berhubung dakwaan kononnya kerajaan akan menukarkan nama Jalan Panglima Bukit Gantang kepada nama Jalan Koo Chong Kong.

Posting tersebut juga dimuat naik berserta paparan sepucuk surat kelulusan terhadap permohonan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak untuk menukar alamat bangunan mereka.

Ia mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Menerusi akaun Facebook beliau, Hasnul berkata Jalan Koo Chong Kong telah pun wujud namun, alamat bagi bangunan JKN yang berada di jalan tersebut telah dialamatkan kepada Jalan Panglima Bukit Gantang.

“Pengarah JKN Perak memohon pertukaran alamat kerana bangunan JKN Perak lebih berhampiran dengan Jalan Koo Chong Kong berbanding Jalan Panglima Bukit Gantang.

“Kalau dilihat pada aplikasi Google Map memang jelas kedudukan bangunan JKN Perak dengan jalan yang berhampiran.

“Ini barangkali menyebabkan ramai yang terkeliru untuk pergi ke sana serta proses surat menyurat dan sebagainya menghadapi kesukaran,” katanya menerusi posting di Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya lagi, bangunan Tabung Haji yang berhampiran juga menggunakan alamat Jalan Koo Chong Kong.

Selain itu, Hasnul tidak menolak kemungkinan terdapat cubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja cuba memainkan isu perkauman melalui fitnah.

“Berhati-hati dalam menyebarkan berita. Jangan termakan dengan sentimen jahat atas perkara fitnah yang mampu mengundang suasana yang tidak baik,” katanya.

Hasil rujukan pada paparan surat yang tular berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Bahagian Pembangunan, Datuk Rahmah Ramli bersetuju untuk menukarkan alamat bangunan JKN Perak.

Surat yang bertarikh 26 Februari 2019 itu dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Sementara itu, terdapat beberapa netizen yang senada dan menjelaskan bahawa Jalan Koo Chong Kong dinamakan bersempena memperingati jasa Bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang telah ditembak mati oleh dua pengganas komunis pada tahun 1975.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");