Berita Hari Ini

Zaman Najib, ‘Duit Judi’ Taja Lawatan Polis 3 Kali – Lim

Lembaga Totalisator, sebuah agensi Kementerian Kewangan yang mengawal semua perjudian lumba kuda dan menerima royaltinya di Malaysia telah menaja tiga lawatan polis ke luar negara ketika zaman pentadbiran Najib Razak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata Lembaga Totalisator telah menaja RM69,763 lawatan polis ke luar negara pada Jun 2012, RM95,040 pada Jun 2013 dan RM128,400 pada Mei 2014.

“Ini bukan kali pertama Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia meluluskan lawatan kerja oleh pegawai PDRM.

“Sebelum lawatan sambil belajar ini, sebanyak tiga lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke luar negeri pernah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia iaitu pada 12 hingga 17 Jun 2012 berjumlah RM69,763 (diluluskan oleh LP pada 27 Mac 2012), 10 hingga 14 Jun 2013 berjumlah RM95,040 (diluluskan oleh LP pada 20 Mac 2013), dan 1 hingga 6 Mei 2014 berjumlah RM128,400 (diluluskan oleh LP pada 11 Februari 2014).

“Ini jelas membuktikan kesemua lawatan diluluskan semasa pentadbiran kerajaan persekutuan Barisan Nasional dan Najib Razak masih Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Tak sensitif

Sebelum ini, Lim mendedahkan lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun dan pegawai tinggi pasukan keselamatan itu ke Turki pada 10 Februari lalu ditaja oleh syarikat perjudian Da Ma Cai, dengan kelulusan Lembaga Totalisator.

Sementara itu, pimpinan Umno dan PAS mengkritik sumber tajaan lawatan sambil belajar tersebut.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tajaan dari Da Ma Cai itu menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap Islam dan sentimen orang ramai.

Bagaimanapun, Lim menjelaskan lawatan ke Turki itu telah diluluskan pada November 2017.

Menurut nota kepada editor yang disediakan Kementerian Kewangan, Lembaga Totalisator telah menswastakan Da Ma Cai pada 1991.

“Lembaga Totalisator Malaysia (LTM) ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 [Akta 494] sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang mengawal selia industri perlumbaan kuda.

“Berikutan keputusan kerajaan untuk tidak lagi terlibat dengan operasi perjudian di negara ini secara langsung, maka operasi perjudian LTM telah diswastakan kepada Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Mai Cai) pada 14 Mac 1991,” kata nota itu.

Hasil penswastaan perlumbagaan lumba kuda itu, Lembaga Totalisator menerima 5 peratus keuntungan bersih Da Ma Cai, purata RM9 juta setahun.

Ia juga menerima RM10 juta dari ejen setiap tahun dan RM6 juta bayaran royalti tahunan daripada kegiatan perjudian melalui telefon.

Lembaga itu juga menerima dana daripada hasil sewaan dan bunga simpanan tetap.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");