Membawang Hari Ini
Like

Awi, Atikah Tak Jadi Kahwin

March 14, 2019
387 Views
0 Comments
3 minutes read
Awi, Atikah Tak Jadi Kahwin

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Singapura, Awi Rafael mengumumkan majlis pernikahan dengan tunang yang berasal dari negara sama, Atikah Suhaime, Ahad ini, dibatalkan.

Menghebahkan perkara itu melalui video yang dimuat naik di Instagram, Awi menjelaskan, dia dan Atikah berdepan dugaan hingga majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan.

“Saya, Awi Rafael dan keluarga memaklumkan menarik diri daripada berkahwin dengan Atikah, tahun ini. Ada banyak benda yang harus diselesaikan sejak awal. Namun, pada saat akhir, baru tahu kisah sebenar.

“Keluarga Awi perlu waktu memikirkan cara terbaik hendak menangani dugaan ini. Awi pula harus fokus kepada ibu dan nasihatnya… Begitu juga Atikah dan keluarganya.

“Saya dan keluarga sekali lagi mengatakan untuk menarik diri daripada berkahwin dengan Atikah,” katanya.

Pengumuman Awi itu mengejutkan peminat yang menunggu detik hari bahagia pasangan ini. Netizen juga tertanya-tanya punca sebenar menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan majlis pernikahan dan resepsi di Singapura, Ahad ini.

Awi turut berkongsi keterangan pada video yang meminta semua pihak memahami situasi dihadapinya sekarang.

“Awi sudah cuba buat yang terbaik untuk dia. Awi dan keluarga pun sudah bersiap sedia untuk majlis, Ahad ini.

“Niat di hati untuk membina masjid, menutup aib dan membawa dirinya ke jalan Tuhan bersama-sama ke arah hidup baharu. Kerana itulah, Awi tawakal dan terus bertunang dengannya, tahun lalu.

“Namun, saya ada ibu dan maruah keluarga. Terlalu berat dugaan kali ini. Awi harap kawan akan faham. Jodoh di tangan Tuhan dan mungkin juga solat istikharah Awi sudah dijawab pada saat-saat akhir ini,” katanya.

Awi juga bersyukur memiliki teman yang memahami keadaannya dan berjanji menanggung kos pembelian tiket penerbangan untuk hadir ke majlis dirancang.

“Saya akan bayar semula tiket penerbangan yang sudah dibeli untuk majlis ini. Juga kepada penaja majlis kahwin seperti kek dan makanan, kita boleh berikannya kepada anak yatim.

“Tidak lupa teman media yang terus menyokong saya. Kasihanilah dia (Atikah)… Tetap beri sokongan kepadanya seperti mana kami raih sejak fasa bertunang dulu,” katanya.

Sementara itu, Atikah turut berkongsi luahan hati di Instagram. Namun, semakan dibuat menunjukkan entri itu sudah dibuang.

Antara lain, Aktika dikatakan mengaku hilang ‘muzik’ merujuk kepada Awi dalam hidupnya.

“Saya dan Awi sudah berusaha keras untuk ini, mungkin saya tidak melakukannya sehabis baik untuk cinta ini.

“Terima kasih Awi kerana menjaga saya dengan baik selama ini. Semoga kita akan kekal berkawan seperti sebelum ini,” katanya.

Pasangan ini bertunang pada 17 Mac 2018 di Singapura.

Komen & Pendapat

Comments are closed.