Perak Hari Ini

Bas ‘Hop On Hop Off’ Mula Operasi Pada 23 Mac

IPOH- Perkhidmatan Bas ‘Hop On Hop Off’ di negeri ini bakal memulakan operasinya pada 23 Mac ini dengan melibatkan tiga buah bas pada peringkat permulaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkhidmatan ini melibatkan sebuah bas separuh bumbung dan dua buah bas berbumbung penuh pada tiga bulan pertama yang akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 9.00 malam.

“Setiap satu bas akan melibatkan sebanyak lima kali pusingan yang dianggarkan mengambil masa lebih kurang setengah jam dan secara keseluruhannya akan melibatkan 15 pusingan bagi kesemua bas di Bandaraya Ipoh ini.

“Antara stesen yang terlibat adalah Terminal Amanjaya, Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh High Court, Little India, Ipoh Old Town, Telekom Malaysia, Brewster Road, Weil Hotel/Ipoh Parade, Gerbang Malam, Octagon, The Majestic dan Panglima Kinta Mosque,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyaksikan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Tourism Perak dengan Perak Transit Berhad di Bangunan Perak darul Ridzuan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.

Selain itu beliau berkata, perkhidmatan bas ‘Hop On Hop Off’ini turut menempatkan seorang pemandu pelancong yang diberi latihan sepenuhnya bagi memberikan maklumat mengenai produk-produk yang terdapat di sekitar Ipoh terutamanya di stesen-stesen yang terlibat.

“Dengan cara ini secara tidak langsung dapat mendekatkan para pelancong dengan pengusaha-pengusaha di sekitar bandaraya Ipoh.

“Perkhidmatan ini juga menggalakkan penyertaan pihak swasta terutamanya yang terlibat secara langsung di dalam industri ini untuk menaja perkhidmatan ini supaya ianya dapat berterusan dan dapat dikembangkan denagn konsep dari insdustri kepada industri” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Faizal turut mengulas mengenai kadar bayaran tiket yang bakal dikenakan sepanjang tempoh promosi yang berlanjutan sehingga penghujung April dan sah sehingga 31 Desember 2019.

“Bagi tujuan memperkenalkan perkhidmatan ini, tambang tiket promosi bagi pelancong domestik adalah sebanyak RM12 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak yang turut ditawarkan kepada pelancong antarabangsa iaitu sebanyak RM35 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

“Harga sebenar selepas tamat promosi kepada pemegang MyKad adalah RM20 bagi dewasa, RM10 bagi kanak-kanak dan harga kepada bukan pemengang MyKad adalah sebanyak RM55 bagi dewasa serta kekal RM20 bagi kanak-kanak,” katanya.

Tiket akan mula dijual pada MATTA Fair di ICC Ipoh dan Kuala Lumpur dan untuk keterangan lanjut boleh melayari website Tourism Perak di www.tourismperakmalaysia.com atau menghubungi pejabat Tourism Perak di talian 05-2499966.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");