Perak Hari Ini

Calon OKU, Orang Asli Mampu Buktikan Kejayaan Dalam SPM 2018

IPOH: Pada awal, kecacatan mata kiri menjadi peluntur semangat buat Noor Asyikin Huda Mustafa namun atas sikap mahu bangkit mencapai kejayaan, pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah, Parit Tok Ngah dekat Parit Buntar itu kini berjaya menjadi salah seorang pelajar terbaik Calon Istimewa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Perak.

Anak kedua daripada tiga orang adik beradik itu berkata disebabkan kekurangan yang dialami sejak lahir, beliau terpaksa melipatgandakan usaha bagi memahami satu-satu mata pelajaran.

“Jika rakan-rakan lain boleh faham dengan mengulang kaji pelajaran selama tiga jam, tetapi saya kena berusaha lebih sedikit.

“Ada kalanya saya berasa patah semangat kerana rakan-rakan lain yang normal boleh berjaya. Mereka sempurna, tidak macam saya.

“Kerana saya mahu banggakan ibu bapa saya, maka saya berusaha gigih dalam SPM ini,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang peguam.

Selain itu beliau turut mengucapkan berterima kasih kepda guru dan pengetua sekolahnya yang menyokong kehendaknya untuk tidak berada dalam kelas pelajar khas, sebaliknya berada di dalam kelas pelajar normal yang lain.

Bapanya, Mustafa Hanafiah, 52 yang juga seorang petani berasa gembira atas kejayaan yang dicapai anaknya perempuannya.

Dalam pada itu, calon istimewa SPM yang turut sama mengapai kejayaan, Muhammad Izhan Haikal Zaman Huri tidak menyangka yang beliau bakal memperolehi 6A dan 2A-.

Pelajar SABK Maahad Ehyak Al-Diniah Islamiah, Kampung Gajah itu berkata, status (Orang Kelainan Upaya) OKU masalah dalam pembelajaran tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.

“Walaupun saya tak macam orang lain, saya akan berusaha bersungguh-sungguh. Saya anak yatim dan saya mahu banggakan ibu saya. Saya tidak putus-putus berdoa untuk berjaya,” katanya.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu menyimpan impian untuk menjadi seorang pensyarah.

Pada masa sama, Dizureen Bell Yana Hamlan daripada Sekolah Menengah Sains Tapah berjaya membuktikan masyarakat Orang Asli juga boleh menjadi pelajar cemerlang.

Beliau yang lahir dalam keluarga suku Kaum Semai itu tidak lokek untuk bertanya dengan guru dan rakan sebaya bagi memahami mana-mana mata pelajaran yang dirasakan sukar.

“Saya pernah gagal dalam subjek Matematik Tambahan dan guru saya telah beri bimbingan sehingga saya berjaya memperolehi A-. Saya sebelum ini tidak pernah mendapat A.

“Sewaktu SPM berlangsung, saya mengamalkan makan kismis dan membuat banyak latihan melalui soalan SPM tahun lalu. Semasa peperiksaan, saya memberi fokus sepenuhnya dan tidak berasa gugup,” katanya yang juga anak tunggal dalam keluarganya.

Ujarnya lagi, ayahnya telah meninggal dunia sewatku beliau masih kecil dan ibunya pula kini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pusat peranginan di Genting.

Dizureen yang tinggal bersama datuk dan neneknya di Bemban itu bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera Marin selain menyimpan impian melanjutkan pelajaran sama ada di United Kingdom ataupun di Korea.

Terdahulu kesemua mereka ditemui pemberita selepas majlis penganugerahan calon cemerlang SPM 2018 Perak di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");