Berita Hari Ini

Dadah Untuk 10 Juta Pengguna

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit dadah selepas merampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta.

Malah rampasan itu disifatkan yang terbesar dalam sejarah negara, setakat ini.

Syabu dibungkus dalam 2,000 paket bungkusan teh Cina jenama terkenal, ditemui dalam sebuah kontena disimpan di kawasan kolam ternakan ikan dekat ladang kelapa sawit di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan antara 7.30 pagi hingga 10 pagi dibuat JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, enam ahli sindiket didalangi warga tempatan berusia antara 35 hingga 49 tahun termasuk ketuanya, ditahan dalam tiga serbuan berasingan.

“Serbuan pertama di Taman Desa Cemerlang, kita menahan tiga lelaki dan merampas semua dadah berkenaan, manakala, serbuan kedua di sebuah rumah dekat Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram dan menahan dua lelaki.

“Serbuan ketiga pula menahan seorang lelaki dalam kenderaan di Taman Desa Cemerlang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som, Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia (Johor), Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Mohmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas tujuh kenderaan iaitu Lexus, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Cefiro, Nissan Navara, Ford Ranger dan Proton Inspira, selain wang tunai sebanyak RM6,270, tiga jam tangan dan pelbagai barang kemas yang semuanya dianggar bernilai RM489,000.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya dadah yang dibawa masuk dari negara jiran dikenali sebagai Segitiga Emas untuk pasaran tempatan dan luar negara termasuk Singapura, Filipina, Jepun, Australia, Korea, Laos dan New Zealand.

“Kita juga percaya sindiket ini membawa masuk dadah ke negara ini dalam kontena menggunakan jalan laut dan menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk dibungkus semula di makmal-makmal mini sebelum mengedarkannya ke luar negara.

“Dengan jumlah dadah ini, ia mampu menampung kegunaan lebih 10 juta pengguna,” katanya.

Mohmad berkata, hasil semakan, semua suspek mempunyai rekod jenayah dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati semuanya negatif dadah.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");