Perak Hari Ini

Isu Penurunan Gaji Siswazah: Kementerian Pendidikan Diseru Adakan Kerjasama Dengan Kementerian Sumber Manusia

IPOH: Rata-rata orang ramai menyambut baik perhatian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mengumum kementeriannya akan meneliti isu gaji permulaan siswazah yang dilaporkan menurun, semalam.

Selain itu tidak kurang juga yang mengutarakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

Penjawat Awam, Muhammad Hafiz Abd Jalil, 32 berkata dalam menangani masalah itu kementerian tersebut harus turut melibatkan sama Kementerian Sumber Manusia dalam membuat sebarang tindakan.

Katanya antara mekanisme yang boleh diteliti semula ialah mengkaji semua had umur bersara dalam sektor kerajaan.

“Generasi kini rami yang berilmu dan lulusan institusi pengajian tinggi namun tidak berpeluang untuk bekerja kerana terpaksa menunggu ‘orang atas’ yang tidak dapat naik pangkat disebabkan ‘orang lama’.

“Sudah tiba masanya kajian dijalankan berkaitan produktiviti yang dihasilkan antara golongan muda dan yang berumur melebihi 55 tahun, mengikut perkembangan semasa,” katanya kepada PerakToday, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kakitangan di salah sebuah syarikat perunding, Nur Suhaiza Muhd Salleh, 29 mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar mewajibkan setiap jabatan di universiti ataupun kolej bagi mengadakan pertemuan dengan pemain industri.

Jelasnya dengan langkah tersebut, pihak institusi pendidikan dapat melakukan semakan kepada semua silibus dan kursus yang diajar agar seiring dengan keperluan industri semasa.

“Tingkatkan lagi latihan praktikal untuk pelajar supaya mereka dapat didedahkan dengan lebih luas lagi terhadap latihan guna tangan ataupun ‘hands-on’.

“Jika pelajar daripada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ia sudah dipraktikkan namun pelajar-pelajar di peringkat ijazah tidak begitu.

“Mereka hanya menjalani latihan praktikal industri selama tiga bulan dan ia tidak mencukupi untuk mempertingkatkan kemahiran praktikal mereka,” katanya.

Pada masa sama, penjawat swasta, A.Parerra, 42 berkata beliau tidak menolak kemungkinan isu penurunan gaji bagi para siswazah berkait rapat dengan isu lambakan tenaga asing yang masuk ke negara ini.

Katanya kerajaan kini seharusnya memberi ruang yang seluasnya kepada pakar dan tenaga muda dalam negara ini bagi menyumbang kepada usaha pembangunan Malaysia yang sedang menuju perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Apabila jumlah lambakan tenaga kerja asing semakin banyak, maka penawaran kerja akan melebihi daripada permintaan.

“Bagaimana gaji hendak meningkat jika ada lebihan penawaran kerja? Kerajaan harus pantau perkara ini,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");