Membawang Hari Ini

Kelab Sahabat Ruffedge Bawa Peminat Dekati Kerja Amal

KUALA LUMPUR: Pernah mempunyai kelompok peminat setia yang digelar Ruffluv, kemunculan semula Ruffedge selepas sedekad menyepi, tahun lalu turut menyatukan penggemar pelbagai generasi.

Menerusi Kelab Sahabat Ruffedge yang dilancarkan semalam, cetusan idea lapan peminat setia kumpulan yang dianggotai Cat Farish, Amir, Azan, Zain, Sein dan Mode itu membuktikan mereka masih relevan.

“Semua ini dilakukan atas inisiatif peminat lama dan baharu. Kami tidak menyangka selepas 20 tahun Ruffedge ditubuhkan, sokongan mereka masih utuh hingga mencetuskan idea menyatukan semua peminat menerusi Kelab Sahabat Ruffedge.

“Kami berharap usaha ini menjadi platform untuk kami dan peminat berinteraksi dengan lebih berkesan, selain merapatkan lagi silaturahim sesama ahli,” kata Azan.

Katanya lagi, tiada sebab untuk mereka menolak usaha itu, malah lebih selesa menggunakan perkataan sahabat yang menggambarkan keakraban dan kemesraan antara Ruffedge serta peminat.

“Lebih bermakna apabila pelancaran kelab ini bukan semata-mata untuk hiburan, sebaliknya turut membawa mereka mendekati kerja sosial. Ia seiring dengan tanggungjawab kami sebagai duta kemanusiaan, Imam Response and Relief Team atau singkatannya, Imaret,” katanya.

Sementara itu, Cat Farish pula menghargai kesungguhan ahli Kelab Sahabat Ruffedge yang berusaha keras memastikan kelab peminat itu didaftarkan secara rasmi.

“Mereka bersungguh-sungguh mahu terus berada di belakang Ruffedge dan berusaha memastikan kelab peminat kami ditubuhkan secara rasmi.

“Memang jika diikutkan, perkara ini sudah lama perlu dilakukan, terutama ketika Ruffedge sedang berada di puncak. Namun, kami tidak melihat ia sebagai masalah besar kerana yang penting, silaturahim antara kami terus erat.

“Menariknya, keanggotaan Kelab Sahabat Ruffedge tidak hanya disertai peminat sebaya, malah kami juga terharu apabila penggemar muda turut bersama menyatakan sokongan mereka,” katanya.

Kembali dengan single terbaru, Seperti Mereka, Ruffedge bakal menjayakan Festival KL Jamm di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 April ini.

Selain Ruffedge, turut beraksi Bunkface, Pot Innuendo, Joe Flizzow, Sona One dan penghibur berpengalaman antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin serta Datuk Sheila Majid.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");