Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Akan Bantu BBM Bangunkan Kem Di Tapah

TAPAH: Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi membantu Briged Bakti Malaysia (BBM) Perak dalam usaha mereka menyiapkan Kem BBM yang terletak di Jalan Pahang, dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau menyambut baik segala usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu berikutan sentiasa membantu masyarakat menerusi kerja-kerja amal.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak korporat dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) negeri untuk turut bersama-sama kerajaan membantu BBM.

“Kita mendapati banyak perkara yang boleh diperbaiki dari segi infrastruktur. Kerajaan negeri akan memberi komitmen untuk membantu sedaya mungkin kepada BBM untuk kem ini.

“Pertamanya kita akan menurap tar dikawasan perkarangan kem dan akan diteruskan kepada infrastruktur yang lain.

“Pusat sumber yang baru dirasmikan tadi memang ada disediakan. Namun masih agak daif dan memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung BBM Nasional Kali Ke-11 di Kem BBM Tapah, dekat sini, hari ini.

Ketika ditanya berkenaan jumlah keseluruhan peruntukan sumbangan daripada kerajaan negeri yang akan disalurkan kepada BBM, Ahmad Faizal berkata ia bukanlah perkara yang utama.

Beliau yang juga Adun Chenderiang menjelaskan apa yang penting bagi kerajaan negeri ialah membantu BBM untuk menyediakan sebuah kem bagi tujuan pembangunan masyarakat setempat yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dan selesa.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri berkemungkinan akan memberi bantuan kepada BBM secara berfasa bagi mendahulukan mana-mana keperluan utama.

Difahamkan, kem BBM yang dibina di atas tanah seluas 3 ekar itu merupakan hasil sumbangan wakaf individu tertentu.

Presiden BBM Nasional, Datuk Dr Abdul Razak Kechik berkata Kem BBM Tapah itu akan menyediakan perkhidmatan tuisyen, latihan kemahiran ternakan lebah kelulut serta latihan anyaman kepada lebih 10,000 masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran.

Selain pembinaan kem tersebut, katanya BBM sangat bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di seluruh negara termasuk di Perak.

Ujarnya sehingga kini, BBM telah menyediakan dewan dan surau di 11 perkampungan Orang Asli di Perak termasuk di Pos Kuala Mu.

Tambahnya, NGO itu juga aktif dalam usaha membela nasib golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang memerlukan perhatian di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");