Berita Hari Ini

Memang Patut Ada Lagi Jambatan Baharu Johor – Singapura

JOHOR BAHRU: Johor memerlukan jambatan baharu ke Singapura bagi meredakan kesesakan kritikal di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Tuas.

Memetik laporan BH Online, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, masalah kesesakan yang semakin serius di dua pintu masuk negara berkenaan perlu penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri tidak terbantut.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan berbincang bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya bulan depan bagi mencari penyelesaian masalah kesesakan di kedua-dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Tuas, termasuk melihat cadangan membina jambatan ketiga ke Singapura.

“Memang perlu (jambatan baharu), malahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan Persekutuan tiada masalah dalam perkara ini, soalnya adalah kerajaan Singapura.

“Ini disebabkan isu ini membabitkan dua pihak. Fokus utama buat waktu ini adalah untuk menyelesaikan masalah trafik yang semakin kritikal antara kedua-dua negara.

“Ketika Perdana Menteri datang meninjau bencana gas kimia berbahaya di Pasir Gudang, saya sempat menunjukkan tapak jambatan ketiga di Singapura dan Tun Dr Mahathir turut menyambut baik cadangan itu, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kembara Sihat 2019 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Kempas, Bukit Kempas, dekat sini, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Osman berkata, penyelesaian jangka panjang masalah kesesakan kritikal di pintu masuk negara adalah penting bagi meredakan aliran trafik di kawasan berkenaan sekali gus mampu menarik kemasukan lebih ramai pelancong.

“Jika kerajaan tiada kemampuan dari segi kewangan untuk membina jambatan baharu, ia boleh diswastakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");