Skuad kendalian Klopp itu kembali merampas kedudukan teratas EPL dengan kelebihan dua mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester City yang mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan.

Selepas Sadio Mane meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-26, bekas penyerang The Reds, Ryan Babel berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74. Bagaimanapun, nasib menyebelahi Liverpool apabila dihadiahkan penalti setelah Mane dikasari penjaga gol tuan rumah, Sergio Rico dan Milner tenang menyempurnakannya.

“Kami mahu kekal dalam perlumbaan, Itu yang kami lakukan. Persaingan masih terbuka namun kami boleh pastikan kami masih berada dalam perebutan tersebut.

“Pertama, dapat kedudukan paling baik. City tidak akan melepaskan walau satu mata jadi kami perlu menang, menang dan menang. Sekarang, mereka ada baki satu perlawanan dalam tangan namun amat penting untuk kami menang. Kami berasa amat gembira. Anda boleh lihat reaksi kami.

“Saya tidak nampak kami panik. Saya suka bagaimana reaksi kami. Penalti itu tidak menjadikan perlawanan ini sensasi. Lima atau 10 minit sebelum gol penyamaan, kami melakukan banyak kesilapan.

“Kami mendominasi permainan dan kami juga memberi bola kepada Fulham namun kami berada dalam minggu yang sangat tertekan, pergi ke Munich kemudian patah balik dan sekarang datang ke London namun saya sudah biasa. Perlawanan yang biasa tetapi keputusannya cukup sensasi,” kata bos Liverpool, Klopp.

Ketika ditanya sama ada Jordan Henderson boleh kembali cergas untuk beraksi bersama England dalam kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Montenegro, kerana dia tidak beraksi sewaktu bertemu Fulham akibat kecederaan buku lali memetik laporan Utusan.

“Dia akan menyertai skuad kebangsaan England. Dia ada dua atau tiga hari di Melwood namun semuanya kelihatan positif.

“Apabila semuanya kelihatan positif dan dia boleh berlatih, dia akan menyertai kem kebangsaan. Dia tidak boleh bermain namun keadaannya tidak begitu serius. Dalam tiga atau empat hari, dia akan pulih,” katanya.