Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan oleh anggota polis trafik selepas kereta dipandunya dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketika ditahan, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna oren itu dalam perjalanan dari arah utara menuju ke George Town dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika dia ditahan polis pasukan peronda lebuh raya tersebut.

“Pemeriksaan di dalam kereta mendapati terdapat tiga kotak mengandungi dadah disyaki ganja di tempat duduk penumpang belakang dan dua lagi ditemui di dalam but.

“Terdapat 80 ketulan mampat dadah disyaki kanabis seberat kira-kira 78.4 kilogram dengan anggaran nilai RM196,250 di dalam kelima-lima kotak tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini semalam.

Menurutnya, suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah itu turut didapati positif dadah.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE