Panasnya Hari Ini

Rais: Lunakkan Imej DAP Agar Orang Melayu Kembali Tumpu Kes Najib

Bagi Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim, Pakatan Harapan (PH) perlu melunakkan imej DAP jika mahu orang Melayu kembali memberi tumpuan kepada dakwaan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak.

Isu DAP dan kes rasuah (Najib) sama melonjak naik. Dan oleh kerana ketinggian emosi dan sentimen orang Melayu terhadap DAP, maka kes Najib tidak dapat apa-apa perhatian. Cuma di ‘tangga kambing’ sahaja.

“Saya pergi ke semua pusat daerah mengundi di Semenyih. Realiti seolah-olah amnya begitu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas soal sama ada sentimen anti-DAP di kalangan orang Melayu menjadi punca kekalahan PH dalam PRK Semenyih minggu lalu.

Najib – kini berdepan 41 dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah – dilihat sebagai antara faktor kemenangan BN di situ.

Kata Rais, pengundi Melayu di Semenyih tidak dapat menerima “tindak tanduk melulu” DAP dan keberadaan parti itu di kawasan majoriti Melayu.

“Apa yang perlu dibuat secara serius oleh PH adalah melunakkan apa-apa imej DAP (yang tidak disenangi),” katanya.

Bagaimanapun tidak jelas apa yang dimaksudkannya dengan tindak tanduk melulu itu.

Malaysiakini menganggarkan PH menerima 37.73 peratus undi Melayu dalam PRK itu, merosot daripada 44.25 peratus pada PRU ke-14.

Bagi BN, anggaran Malaysiakini mendapati ia mendapat 59 peratus undi Melayu, meningkat daripada 35.33 peratus pada PRU ke-14.

Bagaimanapun ia turut disumbangkan faktor pengundi PAS yang mengundi BN kali ini.

Selain itu, Rais berkata PH juga perlu mendengar kritikan daripada pembangkang, misalnya rancangan menggantikan tol dengan caj kesesakan.

Rais juga berkata PH perlu menjelaskan dasar mereka dengan lebih baik.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");