Perak Hari Ini

Razarudin Galas Tugas Ketua Polis Perak Baharu

IPOH: Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain hari ini secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu.

Beliau yang sebelum ini memangku tugas Ketua Polis Perak selepas penyandangnya, Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib pada November, telah menerima arahan pelantikan jawatan tersebut pada 4 Mac 2019.

Pada masa sama, jawatan Timbalan Ketua Polis negeri kini digalas bekas Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Lim Hong Shuan.

Pelantikan mereka disempurnakan dalam majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Perak dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya yang mewakili Ketua Polis Negara.

Dalam satu sidang media selepas majlis tersebut, Zamri berkata beliau yakin gabungan antara Razarudin dan Hong Shuan akan memberi impak yang positif terhadap perkhidmatan kepolisan di Perak.

“Datuk Razarudin merupakan pegawai yang sangat berpengalaman. Beliau telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun.

“Beliau juga banyak mengendalikan kes berprofil tinggi selain pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Dibantu pula oleh Datuk Lim yang berpengalaman berkhidmat dalam JIPS Bukit Aman. Kombinasi ini amat baik dalam meletakkan seluruh pegawai dan anggota polis di negeri ini dalam landasan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata beliau akan menjalankan amanah yang dipikul dengan baik selain akan memastikan kerjasama dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini akan terus mantap.

Tambahnya, beliau akan memastikan integriti kepolisan semua anggota dan pegawai berada dalam tahap yang baik dan juga memastikan kesemua mereka bebas daripada sebarang bentuk jenayah dan etika tidak bermoral.

“Berkenaan jenayah, buat masa ini kadar jenayah jalanan semakin menurun manakala, jenayah pecah rumah yang meningkat.

“Kita akan mengatur beberapa program bagi memastikan kadar jenayah pecah rumah akan menurun,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");