Panasnya Hari Ini

‘Sports Bra’ Konon…

PENGANJUR kem bina semangat di sebuah resort di Bukit Tinggi, di Bentong, yang pesertanya berkelakuan tidak senonoh Selasa lalu menafikan mereka berbikini, sebaliknya hanya memakai coli sukan.

Itu dimaklumkan kepada penduduk yang ‘menyerbu’ padang menyaksikan seramai 80 wanita melakukan aktiviti riadah, kira-kira 7 malam hari sama.

Wakil penduduk, Chung Yoke Ling, 61, berkata, dia dimaklumkan mengenai perlakuan tidak senonoh peserta berkenaan oleh penduduk dan bertindak pergi ke padang itu untuk melihat insiden itu dengan mata sendiri.

Katanya, dia ada bertanyakan kepada penganjur mengapa mereka berpakaian sebegitu, namun mereka hanya berkata yang mereka tidak berbogel dan tidak melakukan kesalahan.

“Mereka juga memberitahu peserta memakai ‘sports bra’ (coli sukan), namun jelas di mata saya yang mereka memakai baju dan seluar dalam yang ada di antaranya mempunyai hiasan ‘lace’ (renda) serta riben.

“Saya tahu untuk membezakan antara ‘sports bra’ dengan baju dalam, malah mereka turut menafikan memakai seluar dalam sebaliknya mendakwa ia swimming trunk (seluar mandi),” katanya kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebahagian dari 80 peserta dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru didapati hanya memakai baju dan seluar dalam ketika melakukan aktiviti anjuran sebuah pusat spa kecantikan di padang resort berkenaan.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang penduduk yang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Bukit Tinggi pada hari sama.

Kejadian itu adalah kali kedua berlaku di resort itu selepas kira-kira 23 lelaki didapati berbogel di padang ketika melakukan aktiviti sukan pada 2017.

Chung berkata, perlakuan tidak senonoh itu bukan saja mencalarkan imej resort itu, malah turut memberi impak negatif terhadap penghuni kediaman di kawasan itu.

“Kawasan kediaman kami ini mempunyai 18 blok dan resort berkenaan beroperasi di satu blok yang ada di sini, jadi sudah tentu kami juga menerima kesan akibat perlakuan mereka.

“Perlakuan mereka tidak boleh diterima kerana ia tidak mencerminkan adab serta budaya rakyat Malaysia, mungkin ia biasa di luar negara namun tidak boleh diterima di sini,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga mempersoalkan bagaimana resort berkenaan boleh beroperasi di kawasan itu sedangkan geran tanahnya tertulis ianya untuk perumahan.

“Kami sudah beberapa kali mengadu kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan lesen (perniagaan) resort itu tetap diperbaharui setiap tahun.

“Kewujudan resort itu membuatkan penghuni tidak lagi ada ‘privacy’ dan aspek keselamatan menjadi kebimbangan berikutan orang luar boleh masuk dan keluar sesuka hati,” katanya.-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");