Perak Hari Ini

3,550 Pendatang Asing Tanpa Izin Telah Diusir Pulang

IPOH: Seramai 3,550 pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini telah diusir pulang ke negara masing-masing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tahun 2018.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagi tempoh Januari sehingga Februari tahun ini, seramai 627 PATI juga telah dikenakan tindakan yang sama.

Katanya, pada tahun 2018, sebanyak 593 operasi penguatkuasaan dan 72 operasi bersepadu dengan agensi kerajaan yang lain telah dilaksanakan JIM Perak.

“Daripada operasi penguatkuasaan tersebut, seramai 2,414 orang PATI telah ditahan.

“Untuk tempoh Januari sehingga Februari 2019 pula, JIM Perak telah melaksanakan sebanyak 118 Operasi Bersepadu di mana seramai 490 PATI terdiri dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Selain itu, 16 majikan turut ditahan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini, pada Khamis.

Selain itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata Depot Imigresen Langkap yang mampu menampung 2,500 PATI dalam satu-satu masa sedang dinaik taraf.

Menjawab soalan tambahan Yahaya Mat Nor (PH- Pasir Panjang), Ahmad Faizal berkata selepas pengambilalihan pentadbiran di peringkat persekutuan, Pakatan Harapan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengawal kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Jelasnya antara inisiatif tersebut termasuk langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah memansuhkan sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu dan ia diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, ujarnya sikap segelintir rakyat yang kurang berminat dengan kerja-kerja dalam sektor kritikal turut menyumbang kepada peningkatan angka kedatangan pekerja asing ke negara ini.

“Ini adalah fenomena yang biasa berlaku di negara-negara membangun dan negara maju, walaupun pendapatan pekerja dalam bidang kritikal ini tidak serendah seperti yang dianggap oleh kebanyakan rakyat tempatan.

“Ini menyebabkan kerajaan terpaksa membenarkan majikan untuk mengambil pekerja asing untuk sektor-sektor kritikal seperti perkilangan, pembinaan perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari bagi memastikan operasi sektor-sektor ini tidak terjejas,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");