Berita Hari Ini

Buih Sabun Bawa Kepada Penemuan Kem Penempatan Sementara Wang Kelian

PUTRAJAYA: Saksi pertama pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis memberitahu buih berbau sabun membawa kepada penemuan kem berkenaan.

Koperal Mat Ten, dari Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, berkata beliau bersama seorang lagi anggota, Sarjan Yusuf Islam Hasan meninjau di kawasan berhampiran pada pagi 19 Januari 2015.

Katanya, penemuan buih berbau sabun itu menyebabkan beliau mengajak rakannya untuk mara ke hulu sungai berkenaan.

“Apabila tiba di situ, saya ternampak seorang perempuan sedang membasuh pakaian. Jaraknya sangat dekat dan kami berada di belakang wanita itu.

“Selepas wanita itu beredar, kami mengekorinya dan terdapat seorang lelaki sedang berbaring di kawasan itu.

“Kami juga melihat wujudnya binaan seperti kedai dan empat menara yang diperbuat daripada kayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali RCI, Khairul Anuar Abd Halim.

Mat berkata, beliau juga mendengar bunyi seperti generator dan menyangka ia tempat memproses dadah.

Beliau kemudian turun ke pos kawalan Wang Kelian dan memaklumkan hasil penemuan itu kepada pegawai atasannya yang dikenali sebagai Asisten Superintendan Joking.

Katanya, sekitar jam 12 tengah hari, Joking mengarahkan satu pasukan terdiri daripada 10 anggota untuk pergi ke lokasi itu semula.

“Sebaik sahaja menghampiri kawasan itu, saya ternampak wanita tadi memegang telefon.

“Tiba-tiba terdengar telefon berbunyi seperti mesej masuk dan wanita itu kemudian menjerit polis datang,” katanya.

Katanya, selepas itu sekumpulan individu berlari bertempiaran daripada kawasan itu dan hanya tinggal enam individu yang berada di bahagian pondok berkunci.

Ahli RCI, Dr Tan Seng Giaw kemudian bertanya mengapa tiada satu gerak kerja teratur oleh pasukan polis sehingga menyebabkan ramai individu di penempatan itu bertempiaran lari, Mat berkata, tujuan sebenar mereka ke sana bukan untuk menangkap sebaliknya untuk meninjau.

“Apabila sudah betul-betul pasti, kami akan balik ke bawah untuk memberi laporan,” katanya.

Sementara itu, Yusof berkata, beliau melihat enam individu berkenaan dalam keadaan lemah dan pakaian mereka kotor.

“Saya membuka pagar dengan tukul dan parang. Anggota lain kemudian membawa mereka turun ke pos kawalan Wang Kelian.

“Saya diberitahu oleh Koperal Mat bahawa ada orang yang sudah lari,” katanya kepada BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");