Panasnya Hari Ini

‘Jika 1MDB Memang Masalah, Tangkap dan Dakwalah Najib’

RANTAU – Calon BN Mohamad Hasan mempersoal mengapa bekas perdana menteri Najib Razak belum ditangkap jika skandal 1MDB benar-benar merupakan satu masalah.

Memetik laporan MalaysiaKini, Pemangku presiden Umno itu berkata demikian tidak sampai 12 jam selepas perbicaraan SRC International – dahulunya subsidiari 1MDB – terhadap Najib bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib juga telah ditahan beberapa kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1MDB.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada hala tuju dalam pentadbiran dan hanya membangkitkan isu 1MDB.

“(PH) tiada hala tuju. Di Parlimen, asyik-asyik 1MDB.

“Kalau betul 1MDB bermasalah, dakwalah Najib. Kamu kata dulu kertas pertuduhan dah siap, cuma belum tangkap. Sekarang kenapa tak tangkap?

“Bukan saya nak Najib ditangkap. Tetapi ini semua penipuan, semua fitnah dan penipuan semata,” katanya dalam satu program di Felda Sendayan malam tadi.

Najib telah dihadapkan dengan 42 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa.

Sejumlah 25 daripadanya berkenaan 1MDB, enam berkenaan penyelesaian syarikat itu dengan syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC) dan satu berkaitan dakwaan pindaan laporan Jabatan Audit Negara berhubung 1MFB.

Semalam, tujuh pertuduhan terhadap Najib berkenaan SRC International bermula di Mahkamah Tinggi.

Mohamad bagaimanapun maklum berkenaan perbicaraan itu ketika beliau sekali lagi bercakap tentang Najib di akhir ceramahnya.

“Najib akan datang ke Rantau, khususnya Sendayan…Dia dikatakan melakukan kesalahan. Dia banyak berjasa kepada kita, jangan lupa jasa dia. Kes mahkamahnya itu Najib punya hal,” katanya lagi.

Najib dijadual menyertai kempen BN malam esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");