Perak Hari Ini

Kad Makanan Dan Kad Kesihatan Dilancar Minggu Hadapan

IPOH- Bagi merealisasikan harapan kerajaan negeri seiring dengan tema Bersama Memacu Harapan, kerajaan negeri akan melancarkan pemberian kad makanan dan kad kesihatan pada minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata, pemberian kad kesihatan bernilai RM300 itu boleh digunakan oleh setiap keluarga di klinik-klinik swasta yang terpilih.

“Kad kesihatan tersebut boleh digunakan oleh seisi keluarga yang mengalami demam atau penyakit-penyakit biasa dan bukanlah untuk penyakit kronik,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, bersempena dengan pengisytiharan Hari Kesihatan Sedunia oleh World Health Organization, kerajaan negeri dengan kerjasama Perak Community Specialist Hospital (PCSH) akan mengadakan Hari Kesihatan Sedunia Keluarga pada tahun ini yang akan bermula pada April dan berakhir pada November tahun ini.

“Pada pembentangan belanjawan yang lalu, pihak kerajaan negeri ingin menjadikan tahun ini sebagai tahun ‘Pembangunan & Kesedaran’, iaitu pembangunan golongan rentan dan peningkatan kesedaran masyrakat.

“Ipoh akan menjadi lokasi pertama perlaksaan program tersebut yang bertempat di Aeon Mall Station 18 pada 21 April dan bermula dari jam 10 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Selain itu, dengan kerjasama daripada beberapa pihak NGO, Hari Kesihatan Sedunia Keluarga ini akan menyediakan pelbagai kemudahan pemeriksaan yang akan diberikan secara percuma kepada masyarakat.

“Antara pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa, pemeriksaan jisim badan, pemeriksaan telinga, kaunseling dietetik, pemeriksaan kulit kepala dan banyak lagi disamping saringan pap-smear dan mammogram yang turut disediakan secara percuma kepada golongan wanita.

“Dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Kempen Derma Darah turut akan dijalankan pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk mengambil kesempatan ini terutamanya golongan berpendapatan rendah, wanita ataupun warga tua bagi mendapatkan pemeriksaan badan secara percuma.

“Perlaksanaan program ini secara tidak langsung dapat meringankan beban dan memberikan kemudahan kepada mereka yang memerlukan disamping dapat mengurangkan kesasakan untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital kerajaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");