Berita Hari Ini

Juru Ukur Jumpa Tulang Manusia Di Kawasan UNITEN

PUTRAJAYA: Beberapa tulang manusia dipercayai milik seorang wanita ditemui di kawasan hutan ladang getah terbiar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sepang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pengadu yang juga seorang juru ukur sedang dalam proses membuat kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan UNITEN.

“Ketika hendak mengukur di kawasan berkenaan, pengadu terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu ‘check point’.

“Pengadu menghampiri dan mendapati terdapat beberapa tulang yang besar dan dibalut dengan selimut disyaki sebagai tulang manusia.

“Tempat kejadian adalah sebuah kawasan hutan ladang getah yang terbiar di dalam UNITEN dengan anggaran jarak kira-kira satu kilometer dari padang ragbi dan 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati ia adalah tulang manusia selain beberapa barangan lain dipercayai milik mangsa termasuk sepasang selipar, sebentuk cincin, sehelai jaket kain berwarna gelap, satu gelang tangan dan tali pengikat rambut.

Katanya, barangan lain yang turut ditemui adalah tali pinggang berwarna hitam, seluar dan baju dalam selain sehelai selimut.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai seorang wanita dan berkemungkinan mayat mangsa ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira setahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Wan Azirul, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");