Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Ada ‘Goal Post’ – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak menafikan kononnya pentadbiran masa kini tidak mempunyai sasaran ataupun ‘goal post’, seperti yang didakwa pihak pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika terdahulu telah diperkenalkan ‘Gagasan Perak Amanjaya’ namun kini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri ingin mengembalikan jati diri negeri kepada ‘Perak Darul Ridzuan’.

Jelasnya ia selaras dengan fokus kerajaan negeri yang mengutamakan gagasan dan program yang mampu memberi impak yang baik kepada rakyat.

Selain itu katanya, pentadbiran kerajaan kini telah menubuhkan beberapa jawatankuasa baharu bagi mengendalikan beberapa isu utama di negeri ini antaranya penubuhan Jawatankuasa Khas Pencemaran Sumber Air Negeri (PESAR).

Jelasnya jawatankuasa tersebut berperanan untuk memantau dan mengambil tindakan kepada semua isu pembalakan haram, penerokaan tanah yang tidak terkawal, perlombongan bijih timah, pembuangan sisa bahan proses industri serta pembuangan sisa domestik.

“Fungsi PESAR adalah untuk memantau dan mencari kaedah terbaik untuk menangani isu pencemaran dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

“Kumpulan kerja khas itu adalah bersifat ” action oriented ” di mana suatu keputusan yang telah dipersetujui akan dikuatkuasakan secara bersama oleh semua agensi terlibat, mengikut peruntukan sedia ada bagi menangani isu pencemaran sehingga ke akar umbi,” katanya.

Selain itu ujarnya, melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (PTAC), ia bakal menjadi pembuat dasar dan pemudahcara kepada semua pelaburan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Menteri Besar Persidangan Dewan Undangn Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, hari ini.

Tambahnya lagi, semua badan berkanun dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) negeri sedang menjalani proses penstrukturan semua segala hutang akibat pentadbiran sebelum ini.

Katanya kesemua GLC negeri juga sedang menjalankan penstrukturan semua operasi dan model perniagaan bagi mengurangkan kos operasi selain mampu mewujudkan sumber pendapatan baharu yang lebih mampan.

“Tugas kami adalah membetulkan kesilapan-kesilapan yang berlaku di bawah pentadbiran sebelum ini dan menetapkan hala tuju baharu yang lebih realistik untuk kebaikan negeri dan masa depan rakyat.

“Sudah tentu, proses ini mengambil sedikit masa, kerana Kerajaan Negeri perlu berhati-hati dalam merencana agenda negeri tanpa perlu menjadi obses dengan slogan-slogan kosong,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");