Berita Hari Ini

Lelaki Ditipu Sindiket Pinjaman Wang Tak Wujud

BERA: Hasrat seorang pembantu operasi sebuah syarikat di sini, membuat pinjaman wang RM30,000 musnah, malah terpaksa menanggung kerugian RM6,230 selepas diperdayakan sindiket pinjaman wang tidak wujud, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga lelaki berusia 30 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa wakil syarikat pinjaman wang.

“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa mahu membuat pinjaman wang berjumlah RM30,000 dengan bayaran ansuran bulanan berjumlah RM356.89 selama 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat bayaran pengaktifan akaun sebanyak RM1,200 sebelum dia mendepositkan wang ke dalam satu akaun bank diberikan suspek.

“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran RM2,000 kononnya untuk memadam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), sebelum dia memindahkan wang ke dalam akaun sama.

“Bagaimanapun, suspek masih lagi meminta mangsa membayar RM3,030 untuk yuran guaman dan pengadu mendepositkan wang ke dalam akaun sama,” katanya.

Katanya, mangsa juga diminta membayar RM3,000 untuk perlindungan akaun dan dijanjikan kelulusan pinjaman, namun dia tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman selepas mengesyaki ada berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek supaya wang diberikan itu dikembalikan, namun lelaki itu enggan memulangkannya. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini, semalam (kelmarin),” katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");