Panasnya Hari Ini

MB Baru Johor Angkat Sumpah Hari Ini

Teka-teki mengenai siapa yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan Johor selepas peletakan jawatan Osman Sapian dilaporkan Selasa lepas, bakal terjawab hari ini.

Istiadat penyerahan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan menteri besar ke-17 Johor akan berlangsung di Istana Serene di Johor Bahru pagi ini selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik menteri besar baru setelah menerima surat peletakan jawatan Osman semalam.

Istiadat pelantikan dijadualkan pada jam 9.30 pagi.

Desas-desus mengenai Johor bakal menerima menteri besar baru bertiup kencang pada hujung minggu menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lepas namun dinafikan pembantu Osman.

Bagaimanapun pada 9 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Osman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerajaan negeri pimpinan PH itu selepas ini.

Yang nyata, kepimpinan PH di Johor dijangka masih diteruskan oleh Bersatu, sekali gus menunjukkan kesepakatan kepimpinan gabungan seperti yang dipersetujui ketika PRU ke-14.

Menurut Osman pada satu sidang media semalam, ketika pertemuannya dengan Sultan Johor, baginda bertitah akan menetapkan beberapa syarat terhadap menteri besar baru.

Syarat-syarat itu dijangka perubahan besar dalam pembentukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan peneraju kerajaan negeri Johor ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal yang ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Siapapun yang bakal dilantik, rakyat Johor khususnya mengharapkan menteri besar baru itu akan membawa perubahan yang lebih baik kepada mereka dan negeri amnya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");