Perak Hari Ini

NGO Gesa Hentikan Projek Ladang Hutan

IPOH: Kerajaan Negeri digesa untuk menghentikan segala perancangan projek pembangunan ladang hutan yang melibatkan kawasan seluas 400 hektar di Hutan Simpan Bukit Kinta dan Hutan Simpan Kledang Saiong.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata pihaknya juga menggesa agar kawasan hutan di lerang Bukit Kledang seluas 10 hektar yang terjejas akibat aktiviti pencerobohan haram, segera dipulihkan.

Jelasnya beliau meminta agar kawasan tersebut dapat dijadikan sebagai kawasan riadah dan hutan lipur.

“Masyarakat di sekitar Menglembu, Falim dan Buntong menjadikan kawasan itu sebagai kawasan riadah mereka. Malah di situ juga ada kawasan air terjun yang mana sekitar tahun 80an, kerajaan negeri pernah berhasrat untuk menjadikan ia sebagai kawasan rekreasi,” katanya.

Tambahnya beliau juga menyeru kepada kerajaan negeri agar dapat memelihara kawasan-kawasan hutan tersebut, selari dengan pemasyhuran Geopark Lembah Kinta oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Meor Razak turut mempersoalkan kenyataan pihak berkuasa yang menyebut semua kawasan yang terlibat bagi projek pembangunan ladang hutan itu dijalakan di kawasan hutan miskin ataupun hutan sekunder.

Jelasnya, disebabkan iklim di Malaysia panas dan lembab sepanjang tahun maka istilah hutan miskin secara hakikatnya tidak wujud.

“Tiba-tiba pula hendak ‘menghalalkan’ kawasan itu menjadi ladang hutan dan dikatakan pula kawasan itu hutan miskin maka, hendak dibuat ladang hutan.

“Hutan miskin ini paling luas kebiasaannya mencecah 100 hektar sahaja. Namun, ini sampai ke 400 hektar. Takkan selama ni pihak berkuasa tidak sedar, tidak nampak apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin, hasil tinjauan di sekitar Hutan Simpan Kledang Saiong mereka mendapati dan yakin bahawa kawasan hutan tersebut merupakan hutan yang kaya dengan hidupan biologi dan spesies liar.

Tambahnya, projek pembangunan hutan yang berhampiran dengan penempatan masyarakat Orang Asli Ulu Geruntum seluas 100 hektar juga boleh menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

Jelasnya, selain kawasan rayau, projek tersebut juga bakal memusnahkan sumber air dan makanan masyarakat Orang Asli di situ.

“Kita menuntut supaya projek-projek ini dibatalkan. Jika projek ladang hutan ini tetap mahu diteruskan, kita gesa ia dipindahkan ke kawasan lain seperti di tanah-tanah miskin atau tanah-tanah kerajaan yang terbiar,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui pada himpunan aman dan penyerahan memorandum berkaitan isu sama kepada Pejabat Menteri Besar di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Sekitar 100 orang peserta yang terdiri daripada 19 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti masyarakat Orang Asli turut hadir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");