Berita Hari Ini

Pelajar Bumiputera Paling Rugi Melalui Sistem Kuota, Kata Ahli Parlimen

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyokong gesaan kajian semula terhadap sistem kemasukan program matrikulasi pra-universiti kerajaan, memberi amaran pelajar Bumiputera akan menjadi kumpulan paling rugi jika kuota 90% untuk mereka dikekalkan.

Katanya, kuota 90% untuk Bumiputera itu bermakna penanda aras lebih rendah bagi kolej matrikulasi dalam perkara penggredan, berbanding dengan lain-lain keperluan kemasukan pra-universiti seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Ini juga bermakna Bumiputera yang melalui proses matrikulasi akan paling menderita di universiti dan apabila bekerja.

“Ini kerana prestasi mereka akan diatasi di universiti oleh pelajar yang melalui mutu penggredan lebih tinggi dan kerana itu mendapat tempat di universiti hasil kejayaan akademik mereka yang lebih tinggi,” katanya.

Apabila mendapatkan pekerjaan, katanya, pelajar matrikulasi akhirnya akan diketepikan untuk memberi laluan kepada penuntut STPM yang lebih baik.

Semalam, ketua jawatankuasa hal ehwal universiti Pemuda DAP, Leong Yu Sheng menggesa Putrajaya menghentikan amalan memberi keutamaan kepada pelajar Bumiputera dalam program matrikulasi.

Katanya, setiap pelajar berhak mendapat pendidikan tidak kira kaum dan amalan sekarang bercanggah dengan jaminan tiada diskriminasi dalam kalangan rakyat seperti di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Maria, sementara tindakan tegas dalam proses kemasukan penting untuk menentukan masyarakat terpinggir tidak diketepikan, tindakan tegas berasaskan kaum tidak dapat diterima.

“Ia berbaur diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Mungkin penting untuk adakan kuota buat masa ini, tetapi mesti ada langkah sementara untuk mengimbangi mereka yang tidak mendapat akses pendidikan. Bagi jangka panjang, kita tidak boleh biar sesiapa pun tertinggal disebabkan kuota dalam pendidikan,” katanya.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan berusaha ke arah pendidikan universal percuma di universiti awam seperti di Jerman memetik lapor FMT.

“Ini bermakna matrikulasi akan mendapat nilai dan hujah bahawa seseorang itu terlalu miskin untuk memasuki universiti tidak lagi berlaku.

“Sekiranya kita terus menolak kemampuan anak-anak hanya berdasarkan kriteria etnik, kita akan terus dengan dasar ketinggalan zaman yang tidak lagi memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Tentunya, kita di laluan yang salah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");