Berita Hari Ini

Perak Ambil Balik 25,600 Hektar Tanah Yang Diteroka Secara Haram

KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak akan mengambil semula tanah kerajaan yang diteroka secara haram, tegas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau menegaskan tanah yang diteroka seluas kira-kira 25,600 hektar akan diambil balik untuk membantu rakyat termasuk membina projek perumahan bagi keperluan rakyat.

Katanya, dengan memajukan tanah tersebut membolehkan rakyat memiliki rumah dan sekali gus membolehkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Saya sedih kerana masih ada rakyat yang tidak memiliki rumah dan terpaksa bekerja di luar,” katanya berucap pada majlis perasmian Malam Jalinan Mesra NGO Negeri Perak di Dewan Jubli, malam tadi.

Sementara itu, beliau juga memuji usaha NGO di Perak yang mahu menubuhkan sekretariat NGO dan menyifatkan ia sebagai medan penyatu kepada NGO yang ada di negeri ini lapor FMT.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri percaya NGO memiliki matlamat sama dengan pentadbiran iaitu membawa kemajuan kepada masyarakat terutama daripada aspek kemajuan ekonomi dan pembelaan kebajikan.

Katanya, setiap NGO yang berada di Perak memiliki kepakaran masing-masing yang sekiranya disatukan, mampu membawa manfaat yang besar kepada semua.

“Sekiranya gabungan NGO ini dapat duduk bersama-sama dan berbincang untuk mencari kaedah terbaik bagi membantu kerajaan negeri menyampaikan khidmat kepada rakyat, kerajaan negeri sama sekali tidak mempunyai halangan dan sentiasa bersedia memberi sokongan demi kebaikan semua,” katanya.

Tambahnya sekretariat NGO yang akan ditubuhkan nanti mungkin juga boleh memainkan peranan untuk melakukan kerja-kerja semak dan imbang kepada setiap keputusan kerajaan selain memberi penerangan terhadap rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan.

Ini secara tidak langsung membantu kerajaan untuk sentiasa beringat agar tidak tergelincir dalam memberi khidmat dan membawa obor perjuangan dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat demi rakyat, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");