Berita Hari Ini

PERKESO Kedah Kompaun Majikan Ingkar

ALOR SETAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kedah mengeluarkan 18 notis dengan nilai kompaun RM10,500 terhadap majikan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP).

Memetik laporan Harian Metro, Pengarahnya Shaharuddin Waled berkata, kesalahan itu dikesan dalam Operasi Pengesanan (Ops Kesan) yang dilakukan di sekitar Alor Setar membabitkan 90 penguat kuasa PERKESO dari seluruh negeri.

Katanya, operasi bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang itu melakukan pemeriksaan di 198 premis dan turut disertai anggota dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Daripada jumlah itu, sembilan kes membabitkan kesalahan gagal dan lewat mendaftar perusahaan mengikut Seksyen 4 akta berkenaan dengan nilai kompaun RM6,000 manakala sembilan lagi majikan diberikan notis kompaun RM4,500 kerana gagal mendaftar pekerja dengan PERKESO mengikut Seksyen 5 Akta sama.

“Selain itu, KWSP turut mengeluarkan notis arah hadir ke pejabat KWSP kepada 15 majikan dan SSM turut mengeluarkan 25 notis sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shaharuddin berkata, sepanjang tahun lalu, statistik Ops Kesan menunjukkan 19 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 4 dan 5 dengan jumlah kompaun RM18,500.

Katanya, meskipun jumlahnya nampak kecil, namun PERKESO negeri memandang serius perkara terbabit dan meminta majikan yang belum mendaftarkan perniagaan atau pekerja berbuat demikian segera.

“Majikan yang ingkar ini memberi pelbagai alasan antaranya alasan tidak tahu, kegawatan ekonomi dan sikap ambil mudah.

“Jika mereka terus berdegil, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");