Berita Hari Ini

PH Perlu Kembali Fokus Keperluan Rakyat, Gesa Wan Saiful

PETALING JAYA: Wan Saiful Wan Jan menggesa pimpinan kerajaan, termasuk golongan elit bandar yang menyokong Pakatan Harapan (PH) supaya memberi fokus dalam usaha membantu memenuhi keperluan asasi rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu berkata, kebanyakan rakyat mengundi PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana mahukan perubahan.

“Mereka perlu dibantu, termasuk kontraktor kecil dan usahawan desa yang mendokong perubahan perlu disokong.

“Aktivis reformasi yang berhempas pulas membawa perubahan perlu dijaga kebajikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang berkata, kemerosotan sokongan daripada kalangan masyarakat Melayu terhadap PH adalah kerana gabungan parti pemerintah itu “tunduk” pada golongan elit bandar.

Anwar dipetik oleh Channel News Asia sebagai berkata, PH seharusnya menumpukan pada isu asas yang dekat dengan masyarakat Melayu luar bandar seperti kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kelompok elit bandar bersama-sama pimpinan kerajaan harus bergerak di peringkat akar umbi bagi membantu rakyat.

Katanya, ini kerana masih ramai rakyat yang perlukan pelbagai bentuk bantuan lapor FMT.

“Jika kita biasakan diri turun ke peringkat akar umbi, barulah kita akan sedar betapa besarnya jurang ketidaksamarataan dalam negara kita.

“Selepas itu InshaAllah kita akan dapat sama-sama menyusun keutamaan yang selaras dengan keutamaan rakyat,” katanya.

Wan Saiful bagaimanapun berkata, reformasi institusi juga penting dan masa yang lebih panjang diperlukan untuk rakyat menikmati kemanisan hasil daripada reformasi tersebut.

“Keutamaan kita mestilah betul. Kebajikan dan kesusahan rakyat harus menjadi keutamaan pertama kita.

“Jika penumpuan kita terlalu banyak kepada reformasi institusi sehingga nasib rakyat marhaen hari ini kita terlepas pandang, itu tandanya kita terlalu terpengaruh dengan pemikiran kelompok “Bangsar bubble”,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");