Berita Hari Ini

Presiden JMM Mengaku Tak Bersalah Tuduhan Ugutan Jenayah, Aibkan Seseorang

KLANG: Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah didakwa di dua Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan mengaibkan seseorang, hujung tahun lalu.

Azwanddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di kedua-dua mahkamah berkenaan.

Memetik laporan BH Online, di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail, Azwanddin didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang, Asisten Superintendan Harun Abu Bakar untuk menyerang Balai Polis Klang.

Berikutan itu, laporan turut menyebut dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang juga Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) turut didakwa mengaibkan seorang individu untuk membangkitkan kemarahan yang boleh memecahkan keamanan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Seni Off Jalan Melayu, Pusat Bandar Klang pada jam 6.15 petang, 25 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mengendalikan kedua-dua kes berkenaan menawarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun, peguam mewakili Azwanddin, Izzat Muhtar, memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.

“Beliau juga seorang pemimpin setempat dan ahli politik yang akan hadir untuk kes ini selain mempunyai tanggungan isteri dan empat anak,” katanya.

Solehah menetapkan jaminan RM8,000 manakala Muhammad ‘Azzam menetapkan RM5,000 jumlah jaminan dan kedua-duanya turut memerintahkan Azwanddin melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 Mei depan.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan Azwanddin bagi membantu siasatan mengenai kenyataan berunsur provokasi ketika berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di bandar Klang.

Beliau dalam ucapannya didakwa mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, tidak ditangkap.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");