Perak Hari Ini

SPAN Masih Belum Tarik Arahan Penutupan LRA Air Ganda – MB Perak

IPOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih lagi belum memutuskan untuk menarik balik arahan pemberhentian sementara bagi operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik.

Perkara tersebut disahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu setelah beliau menghubungi pengurus besar Lembaga Air Perak (LAP) semalam.

Katanya beliau sekali lagi berharap agar SPAN dapat membuka semula loji tersebut ekoran kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye baru-baru ini yang mengesahkan bahawa air dari LRA selamat untuk digunakan tujuan mencuci pakaian dan mandi.

“Saya berharap selepas kenyataan daripada Timbalan Menteri itu, SPAN dapat memberi sedikit ruang kepada penduduk untuk menggunakan air selain daripada untuk tujuan minuman atau makanan.

“Tambahan pula Bulan Ramadan semakin hampir dan kemudian tiba pula Hari Raya. Amat sukar jika tiada air dan terpaksa mengambil daripada tangki,” katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal turut mengesahkan bahawa beliau telah menulis surat rasmi ke pejabat Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) selain bertemu sendiri dengan Menterinya, Dr Xavier Jayakumar di Parlimen bagi rayuan yang sama.

Namun katanya KATS tidak dapat menarik arahan yang dikeluarkan SPAN kecuali mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sekali lagi Ahmad Faizal berharap agar SPAN dapat menarik balik arahan mereka ekoran kenyataan daripada Timbalan Menteri Kesihatan.

Pada masa sama beliau berkata lori dan tangki bekalan air sementara bagi menyediakan air bersih kepada penduduk setempat adalah mencukupi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Sistem Rawatan Air SafeWhere bagi Perkampungan Orang Asli di Daerah Batang Padang, di Hotel Impiana, dekat sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar berkata projek perbekalan air antara Perak dan Pulau Pinang masih dalam proses perbincangan.

Walaupun Pulau Pinang berminat untuk mendapatkan air mentah namun, katanya Perak tetap akan menjual air terawat kepada negeri tersebut.

“Kita akan cuba mencapai satu mekanisme yang terbaik buat kedua-dua negeri namun, kita akan jual air yang terawat. Itu keputusan kerajaan negeri yang kita tidak akan berganjak dengan keputusan itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");