Sukan Hari Ini

Tak Boleh Silap Lagi – Solskjaer

WOLVERHAMPTON, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United tidak boleh melakukan kesilapan lagi sekiranya mahu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan 2-1 kepada Wolves awal pagi tadi.

Kad merah ke atas Ashley Young dan gol sendiri Chris Smalling antara faktor yang menyumbang kepada aksi mengecewakan skuad kendalian Solskjaer di Molineux.

Pengendali United itu meletakkan sasaran untuk mengumpul 15 mata daripada baki tujuh perlawanan sebelum kunjungan ke laman Wolves.

Kini mereka perlu mengutip jumlah itu daripada baki enam perlawanan, dengan Manchester City dan Chelsea akan bertandang ke Old Trafford, sasaran yang diakui Solskjaer tiada ruang untuk kesilapan.

“Saya yakin seperti tiga jam lalu,” kata Solskjaer berjenaka selepas kekalahan itu. “Saya kata kami perlu 15 mata daripada tujuh perlawanan dan kini kami perlu 15 daripada enam.

“Ia sukar tetapi sekali lagi, kami adalah pasukan yang bagus dan ia akan menyukarkan sesiapa saja yang menentang kami. Perlawanan ini amat sengit tetapi persembahan kami sepatutnya berakhir dengan kemenangan.”

Gol pembukaan oleh Scott McTominay untuk United disamakan oleh Diogo Jota sebelum rehat, tetapi situasi berpihak kepada tuan rumah selepas Young dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh lima minit kerana mengasari Jota.

Wolves akhirnya mendahului permainan pada minit ke-77 selepas Raul Jimenez menanduk hantaran Joao Moutinho ke arah pintu gol, dan Smalling yang bertembung dengan rakan sepasukan, penjaga gol David de Gea tertolak bola ke gawang sendiri.

Smalling hampir menjaringkan gol sendiri yang kedua namun De Gea sempat menyelamatkan gawang dan maruah rakan sepasukannya itu. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");