Perak Hari Ini

Asmuni Sahkan Dipanggil Menghadap Sultan Perak

IPOH: Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi mengesahkan bahawa beliau merupakan antara kepimpinan parti di negeri ni yang telah dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu penggunaan masjid dan surau terhadap aktiviti atau program yang berunsurkan kepartian.

Katanya selain beliau, pada pertemuan yang berlangsung sekitar jam 4 petang semalam yang berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu turut dipanggil menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Bersatu negeri; Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Asmuni juga mengesahkan Sultan Perak turut menitahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria menghadap sama.

Jelas beliau Baginda menzahirkan kebimbangannya berhubung isu tersebut selain menitahkan agar masjid dan surau dapat kembali kepada matlamat asas serta bebas daripada sebarang unsur politik.

Sebelum ini ada laporan mengatakan terdapat beberapa siri program berbentuk kepartian oleh UMNO dan PAS yang diadakan di beberapa buah masjid di Perak, sama ada sebelum mahupun ketika bulan Ramadan tiba.

Asmuni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri berkata beliau sebelum ini, melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menegur dan membangkitkan isu yang sama.

“Saya berasa lega semalam apabila Sultan Perak memanggil semua kepimpinan parti dan memberikan arahan serta meminta pengakuan daripada setiap kami untuk mematuhi arahan.

“Saya harap juga selepas ni tidak timbul lagi perkara seperti ini lagi dan tidak lagi memberi tekanan kepada saya sebagai Exco yang menjaga hal ehwal agama.

“Seperti mana titah Baginda semalam, sekiranya ia masih berlaku, ahli jawatankuasa masjid akan digantung selain disiasat. Jika terbukti berlaku pelanggaran peraturan, maka jawatan mereka boleh ditukar,” katanya.

Tambah beliau sekiranya isu ini terus berlaku, matlamat untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini akan terus gagal.

Selain itu jelasnya, kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan sebarang program yang berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan di masjid atau surau namun, ia hendaklah bebas daripada sebarang unsur mempromosikan mana-mana parti.

Katanya ia termasuk dengan pencetakan gegantung program yang harus bebas daripada sebarang logo parti.

Sementara itu jelasnya perkara sama turut tertakluk kepada sebarang penggunaan dewan orang ramai di seluruh negeri ini.

“Jika bukan untuk tujuan politik, memang semata-mata untuk tujuan kepada orang ramai, kita tidak menghalang.

“Saya berjanjilah semasa pilihanraya yang akan datang dewan orang ramai akan ditutup. Semua pihak hendaklah menggunakan premis parti sendiri.

“Jika ada gegantung yang tertera lambang parti, saya tak benarkan. Arahan yang sama juga saya telah maklumkan kepada pihak parti saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Penyerahan Sumbangan Pakaian Hari Raya kepada 100 orang anak yatim di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi di Pusat Beli Belah Mydin Manjoi, dekat sini, hari ini.

Program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi itu menyasarkan anak-anak yatim di bawah umur 15 tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");