Berita Hari Ini

Duit Raya Untuk Peneroka: ANAK Akan Serah Surat Rayuan Kepada PM

PELABUHAN KLANG: Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) akan menyerahkan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pemberian duit raya untuk golongan itu, dalam tempoh terdekat.

Menurut BH Online, Penasihat ANAK, Datuk Mazlan Aliman, berkata pihaknya merancang menyerahkan surat rayuan itu, esok atau lusa sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada Rabu ini.

Beliau berkata, ia adalah antara usaha pihaknya bagi membantu 112,635 peneroka FELDA memperoleh duit raya dalam tempoh beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, pemberian duit raya itu amat diperlukan kerana peneroka terbabit hanya berpendapatan rendah.

“Jika kerajaan memutuskan tiada duit raya, tahun ini, ia akan merunsingkan peneroka dan mereka mungkin terpaksa bergantung kepada anak.

“Namun, bukan semua anak peneroka dapat memberi kerana ada yang mampu dan ada yang kurang mampu,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra dan Majlis Berbuka Puasa Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Klang, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Mazlan yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA berkata, pihaknya memahami akan keadaan ekonomi negara ketika ini, namun isu duit raya peneroka juga harus diberi penekanan.

Tahun lalu, beliau berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan tetap memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi tujuan itu.

“Saya berharap dalam baki beberapa hari lagi sebelum sambutan Aidilfitri, kerajaan akan mengumumkan duit raya kepada peneroka ini.

“Sekurang-kurangnya, duit raya itu sama seperti tahun lalu sebanyak RM450,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan setakat ini tiada keputusan berhubung pemberian duit raya kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dipetik sebagai berkata keutamaan kerajaan kini ialah memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan tidak berupaya memberi sebarang janji dalam mengumumkan duit raya kepada peneroka seperti amalan sejak 2011, bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang dan lestari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");