Panasnya Hari Ini

MB Johor Enggan Ulas Tolak Tawaran Jawatan Setiausaha BERSATU Negeri

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, enggan mengulas laporan beliau menolak tawaran jawatan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor.

“Mengenai tawaran itu, saya tidak mahu komen. Namun, siapa yang dilantik perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh dalam memastikan kestabilan parti.

“(Pengerusi BERSATU Johor yang baharu) YB (Yang Berhormat) Mazlan (Bujang) pilih siapa yang selesa untuknya bekerjasama dalam mengemudi BERSATU Johor,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selepas merasmikan majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2019 Yayasan Penyayang Iskandar Puteri di sini, hari ini, lapor BH Online.

Semalam, Mazlan yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi BERSATU Johor yang baharu mengumumkan melantik Ketua BERSATU Bahagian Ledang, Mohd Solihan Badri sebagai Setiausaha BERSATU Johor menggantikan Dr Sahruddin.

Mazlan juga berkata beliau ada menawarkan kepada Dr Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha, namun dimaklumkan bahawa Dr Sahruddin sendiri menolak jawatan berkenaan demi menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin mengucapkan tahniah kepada Mazlan di atas pelantikan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, berkata amanah berkenaan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan perpaduan parti berkekalan.

“Sekarang masa untuk kita bekerja bersama-sama, siapa pun yang dilantik, Alhamdulillah. Kita perlu pastikan perpaduan serta kekukuhan parti menjadi keutamaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");