Berita Hari Ini

Ihsan Perdana Pindah RM42 Juta Ke Dalam Akaun Tidak Diketahui Pemilik

KUALA LUMPUR: Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) memindahkan wang sebanyak RM42 juta ke dalam dua akaun milik Datuk Seri Najib Razak walaupun ketika itu belum diketahui pemiliknya.

Ketika pemindahan, akaun terbabit masing-masing hanya dinamakan sebagai AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking 1MY.

Bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali, memberitahu Mahkamah Tinggi wang itu dimasukkan ke dalam akaun berkenaan bagi tujuan program tanggungjawab sosial korporat.

IPSB adalah anak syarikat yang mengendalikan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International Sdn Bhd.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-36 pendakwaan, Aisyah berkata beliau diarahkan untuk membuat pemindahan dana itu oleh Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman melalui tiga transaksi pada 26 Disember 2014 dan 9 Februari 2015.

Aishah yang membacakan pernyataan saksi, berkata beliau diarahkan Dr Shamsul Anwar untuk menyediakan Borang Pemindahan Wang bagi pemindahan dana IPSB pada 26 Disember 2014 dan dirujuk dengan emel diterima Shamsul daripada wakil YR1M Ung Su Ling.

Saksi itu berkata, emel yang dirujuk kepadanya itu mengandungi maklumat akaun penerima dana dan Dr Shamsul Anwar mengarahkan beliau membuat pemindahan berdasarkan maklumat di dalam emel terbabit.

“Saya kemudian menyediakan dua Borang Pemindahan seperti yang yang diarahkan.

“Saya merujuk kepada Borang Pemindahan wang bertarikh 26 Disember 2014 bagi pihak Affin Bank memindahkan wang RM27 juta dari akaun IPSB kepada akaun Ambank dengan nombor 211-202-201188-0 atas nama AmPrivate Banking -1MY.

“Tujuan pemindahan wang direkodkan sebagai CSR Programs seperti kebiasaan yang saya catitkan,” katanya.

Aishah berkata, beliau turut memindahkan RM5 juta daripada akaun IPSB kepada akaun AmPrivate Banking -MY dengan nombor akaun 202-201190-6 bagi tujuan sama, pada hari sama.

Selepas menyediakan Borang Pemindahan, Aishah berkata, beliau mendapatkan tandatangan Dr Shamsul Anwar dan Pengarah Kewangan IPSB, Datuk Abdul Aziz Ismail sebelum memproses dokumen terbabit di Affin Bank cawangan The Curve.

Beliau berkata, apabila kembali ke pejabat, beliau diarahkan oleh Dr Shamsul Anwar untuk membuat semakan pemilik kedua-dua akaun penerima berkenaan, bagaimanapun dimaklumkan oleh Affin Bank bahawa institusi perbankan itu tidak mempunyai maklumat berkenaan.

Pada 9 Februari 2015, Aishah berkata beliau sekali lagi menerima arahan Dr Shamsul Anwar untuk memindahkan wang RM10 juta daripada akaun Affin Bank IPSB kepada akaun Ambank dengan nombor akaun berakhir 880 juga bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat.

Pada 6 Mei lalu, Pengurus Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus, 44, mengesahkan wang berjumlah RM42 juta dari akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik Najib.

Saksi pendakwaan ke-30 itu berkata, wang RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Disember 2014, serta RM10 juta pada 10 Februari 2015 dipindahkan dari akaun Affin Bank milik IPSB bernombor 106180001108 ke dalam ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY bernombor 2112022011880 dan 2112022011906 milik Najib.

Sementara itu Selepas memproses borang pemindahan di Affin Bank, Aishah berkata, beliau sekali lagi diminta Dr Shamsul Anwar untuk membuat semakan terhadap pemilik akaun, tetapi masih gagal mendapatkan maklumat berkenaan.

“Bagi ketiga-tiga Borang Pemindahan yang saya sediakan dan hantar kepada Affin Bank, saya menghubungi pihak bank untuk mendapatkan pengesahan proses pemindahan dana sudah dilaksanakan.

“Saya sahkan bahawa pihak Affin Bank ada memaklumkan bahawa ketiga-tiga proses pemindahan itu sudah lengkap pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Farhan Read yang mewakili Najib sama ada terdapat sembilan kemasukan wang berjumlah RM143 juta ke dalam akaun IPSB, Aishah menjawab: “Betul”

Farhan: Saya senaraikan kemasukan wang ke dalam akaun IPSB. Pada 11 Disember 2014, sebanyak RM5 juta dan RM15 juta; 15 Disember (RM20 juta); 24 Disember (RM40 juta); 9 Januari 2015 (RM40 juta); 5 Februari (RM5 juta); 6 Februari (RM5 juta); 13 Februari (RM10 juta) dan 9 April 2015 berjumlah RM3 juta.

Aishah: Ya

Farhan: Daripada jumlah RM143 juta, sebanyak RM20 juta datang daripada SRC International?

Aishah: Tak pasti

Farhan: Pada 12 September 2014, boleh anda sahkan terdapat pengeluaran 4 cek berjumlah RM20 juta, iaitu RM5 juta bagi setiap satu cek?

Aishah: Betul

Farhan: Adakah anda ingat transaksi membabitkan empat cek dibayar kepada pihak mana?

Aishah: Tak ingat

Farhan: Boleh sahkan terdapat pengeluaran sebanyak RM118 juta daripada Ihsan Perdana dari 2014 dan 2015.

Aishah: Ya

Farhan: Daripada RM118 juta sebanyak RM42 juta dikeluarkan ke Najib, RM76 juta kepada Mail Global Resources, manakala RM1.5 juta masing-masing dipindahkan ke Tazri Talib dan Mohamed Redzuan Adamshah?

Aishah: Ya

Terdahulu, saksi itu berkata, IPSB yang menjalankan perniagaan melalui kerja CSR bagi pihak yang melantiknya, ditubuhkan pada tahun 2011. Sebelum itu ia dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd.

Katanya, syarikat itu dilantik untuk menjalankan program CSR bagi pihak Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) sebagai pembiaya program dan diberikan sejumlah wang pembiayaan untuk menganjurkan program seperti diarahkan YR1M.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");