Berita Hari Ini

Jajaran WCE Hutan Melintang Ke Teluk Intan Dibuka

TELUK INTAN: Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping Seksyen 8 dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer (km) dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya bermula 6 petang, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, jajaran pertama yang dibuka itu juga tidak akan dikenakan bayaran tol sehingga kerajaan membuat keputusan berkenaan polisi pengenaan tol dan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, pembukaan jajaran itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah bakal memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di sekitar kawasan berkenaan memetik laporan Harian Metro.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membuka jajaran yang kritikal ini untuk digunakan oleh pengguna untuk pulang beraya di kampung masing-masing dan akan membantu mengurangkan tekanan trafik pada musim perayaan ini.

“Pembukaan jajaran Seksyen 8 yang direka bentuk laluan dua lorong dua hala bakal menjadi laluan pintasan kepada penduduk setempat sekitar Sabak Bernam, Selangor; Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan di Perak.

“Jajaran ini juga dapat memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan FT 005 (Klang-Teluk Intan) dan turut disediakan kemudahan awam seperti surau dan bilik air bersebelahan Plaza Tol Hutan Melintang dan Plaza Tol Teluk Intan,” katanya.

Mohd Anuar berkata demikian selepas merasmikan pembukaan laluan Hutan Melintang-Teluk Intan di Tol Plaza Teluk Intan, WCE di Batu 5 Jalan Teluk Intan-Bagan Datuk, Teluk Intan, hari ini.

Menurutnya, pembukaan Seksyen 8 itu bersifat setempat namun apabila lebuh raya WCE siap sepenuhnya ia bakal menjadi sistem penyuraian trafik dan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan terutama pada musim perayaan.

“Untuk jajaran Seksyen 9 dan 10 iaitu persimpangan daripada Lekir ke Beruas sejauh 44 km pula dijangka akan dibuka selewat-lewatnya pada Ogos ini dan setakat ini, ia sudah siap 95 peratus.

“Jajaran WCE akan dibuka secara berperingkat dan untuk keseluruhannya WCE akan dibuka sepenuhnya pada hujung tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Anuar turut menasihati pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya tidak menggunakan jajaran WCE yang belum dibuka kepada awam.

“Saya menerima maklumat bahawa ada penunggang motosikal yang menggunakan jajaran WCE sama ada untuk tujuan santai, berlumba atau memang digunakan (untuk urusan harian).

“Ia tidak boleh dilakukan kerana sekiranya berlaku sesuatu kemalangan ia tidak dilindungi insurans kerana jajaran belum diwarta lagi biarpun jalan nampak sudah cantik dan elok, jadi saya nasihatkan jangan guna mana-mana seksyen yang belum dibuka secara rasmi, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");