Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Giat Pulihkan GLC, Badan Berkanun

IPOH: Dalam tempoh setahun Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran di Perak, antara usaha yang sedang giat berjalan ialah memulihkan institusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun negeri dan mengembalikan ia kepada tujuan asal penubuhan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara inisiatif yang diambil ialah dengan menutup operasi syarikat-syarikat yang tidak membawa keuntungan dan terkeluar daripada bidang badan berkanun tersebut.

Katanya sebelum ini, sebuah badan berkanun yang sepatutnya memacu dan merancakkan ekonomi negeri menerusi bidang pertanian telah membuka sebuah syarikat berasaskan produk kecantikan.

“Tiba-tiba buka syarikat dan mengeluarkan modal yang melibatkan jutaan ringgit buka perniagaan barangan kecantikan dengan mengeluarkan krim muka dan sebagainya.

“Kita telah menutup syarikat tersebut dan ini adalah salah satu contoh. Ada banyak lagi syarikat yang dikenakan tindakan yang sama kerana lari daripada asas dan tujuan penubuhan sesuatu badan berkanun negeri itu,” katanya.

Selain itu ujarnya, kerajaan negeri turut telah menyemak semula semua perjanjian yang disifatkan sebagai berat sebelah selain merugikan badan-badan berkanun dan GLC negeri.

“Sebagai contoh Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah diserahkan tanah oleh kerajaan negeri. Kemudian badan berkanun itu menandatangani satu perjanjian dengan pihak lain.

“Tanah itu kepunyaan PPPNP dan mereka juga yang mengeluarkan modal dan sebagainya untuk tanah tersebut namun pihak lain itu pula mendapat nilai keuntungan 50 peratus, tanpa mengeluarkan sebarang belanja,” katanya.

Walau berlaku sedemikian, namun jelas Ahmad Faizal usaha untuk melakukan rundingan semula dengan semua pihak ketiga tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Menyentuh tentang gaji pegawai-pegawai badan berkanun atau GCL negeri, sewaktu beliau pada awal menjawat jawatan Menteri Besar, beliau terkejut dengan gaji yang diperoleh mereka.

Malah katanya terdapat gaji pegawai yang mencecah dua ke tiga kali ganda melebihi elaun Menteri Besar Perak.
Tambahnya walaupun mempunyai jawatan dalam badan berkanun negeri namun mereka juga turut memegang jawatan dalam beberapa anak syarikat di bawah agensi tersebut.

Katanya selain telah menghentikan amalan pengenalan yuran komitmen, kerajaan negeri telah bertindak memotong gaji-gaji pegawai dalam badan-badan berkanun negeri.

Beliau berkata demikian pada satu sesi temu bual khas Setahun PH Menerajui Perak di Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar Perak, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut ditanyakan sama ada kerajaan negeri akan menyerahkan kepada pihak berkuasa setelah semua laporan audit kepada GLC negeri telah lengkap.

“Kebanyakan audit forensik yang kita jalankan ini memerlukan masa. Dan kita buat secara dalaman. Namun apabila kita mahu menyiasat lebih dalam, ia memerlukan perbelanjaan yang besar. Seperti proses audit kepada taman tema MAPS itu memakan belanja RM400,000.

“Sekiranya kita mendapati sesuatu kepincangan itu berada di luar kawalan, dan memerlukan ia dilaporkan kepada pihak berkuasa, itu kita terpaksa akan buat.

“Tetapi jika ia boleh diatasi dengan cara penambahbaikan dan tindakan dalaman, maka kita akan buat seperti itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");